Sabtu, 21 Oktober 2017 | 5:37pm
HASAN sempat bergambar dengan kereta Mercedes keluaran 1959 milik Ramzan yang juga seorang pengumpul barangan antik di Hendek. - Foto NSTP
HASAN bergambar dengan pelajar yang menuntut di Istanbul selepas majlis makan malam bersama Timbalan Perdana Menteri.

Hasan suntik semangat 300 pelajar di Ankara

WIRA Daratan, Datuk Hasan Nawawi, 63, berkayuh lebih 600 kilometer (km) laluan kampung yang bergunung-ganang untuk sampai ke Istanbul, bagi menyambut kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana pihak berkuasa Turki melarang penunggang basikal melalui lebuh raya atau dipanggil 'Otogar', berikutan had laju kenderaan ialah 120 km/jam, yang sudah pasti boleh mengundang bahaya.

Selain basikal, tiga kategori lain dilarang sama sekali memasuki lebuh raya ialah pedati kuda, traktor dan pejalan kaki. Jika ingkar, mereka boleh dikenakan saman atau dihadapkan ke mahkamah di Ankara.

Pada masa sama, Hasan juga terpaksa bertarung dengan suhu sejuk 10 darjah Celsius menjelang musim luruh dan hujan sekali sekala yang turut memperlahankan kayuhan beliau.

"Di Ankara, saya bersama pegawai kedutaan dan ahli keluarga mereka serta pelajar Malaysia sempat melakukan senamrobik dan berjalan-jalan santai di kawasan sekitar pejabat kedutaan.


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut ketibaan penunggang solo, Datuk Hasan Nawawi setibanya di Istanbul, Turki.


SEBAHAGIAN daripada 300 pelajar yang menuntut di Ankara.

"Saya juga menemui sahabat lama Haji Majid. Kami pernah bermain bola sepak dan menyertai pasukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Walaupun hanya beberapa jam, kami sempat berseloroh mengingatkan pengalaman dulu," katanya kepada BH.

Hasan berkata, rindunya terhadap makanan Malaysia terubat apabila kakitangan kedutaan menjamu mi goreng, nasi lemak dan pelbagai menu lain.

"Bayangkan hampir sebulan menjamah masakan roti Perancis, sup daging, kambing panggang dan Chai (teh O panas), akhirnya dapat menikmati masakan Melayu. Lega tak terkata," katanya.

Di Ankara, beliau turut menemui hampir 300 pelajar yang menuntut di universiti di situ dan memberi motivasi kepada mereka dalam mengharumkan nama negara.

Demi mengejar masa untuk menemui Timbalan Perdana Menteri, bekas Datuk Bandar Ipoh ini tidak singgah menginap di Kalemler, sebaliknya ke Bolu.

"Bandar Bolu yang terletak berhampiran dengan Eropah moden sedikit berbanding bahagian timur Turki. Bangunannya juga agak terkini, namun seni bina masjid masih mengekalkan seni Uthmaniyyah.

"Ketika mengayuh di sekitar bandar itu, saya menemui sepasang suami isteri, Murad dan Bedia yang fasih berbahasa Inggeris. Rupa-rupanya Murad pernah bertugas di Mesir, manakala isterinya dilahirkan di Belanda. Dapatlah saya berkomunikasi dan bertanyakan arah jalan dengan mereka," katanya.

Katanya, di Dataran Bolu terdapat laluan pejalan kaki dan basikal, manakala kereta, motosikal serta lori dilarang memasukinya.

"Di sinilah tempatnya penduduk Bolu membeli belah barangan keperluan, pakaian dan sebagainya. Keadaannya aman sekali dan penduduknya amat ramah.

"Seperkara lagi, yang menarik perhatian saya ialah pengusaha hotel bajet menyediakan sarapan percuma untuk pelanggannya. Rasanya tuan punya hotel mengamalkan konsep berniaga dan bersedekah," katanya.

Jam 10 pagi, beliau meninggalkan bandar Bolu untuk ke Gumusova yang jaraknya kira-kira 100 km. Beliau sempat merakamkan foto keindahan gunung-ganang yang menghijau.


HASAN sempat mengabadikan foto di jeti feri yang mengghubungkan Istanbul Asia dan Istanbul Eropah yang terpisah dengan Selat Bhosporos.

Ketika berehat di atas puncak sebuah gunung, kelihatan daun-daun pokok menguning mulai gugur menunjukkan musim luruh hampir tiba.

"Di Malaysia, kalau kita hendak lihat daun getah gugur apabila musim panas. Berbeza di Eropah apabila musim luruh menandakan musim sejuk akan tiba," katanya.

Setiba di Gumusova kira-kira jam 5.30 petang, Hasan mendapati tiada hotel di situ dan beliau terpaksa mengayuh sejauh 20 km untuk ke pekan Hendek.

"Paling mencabar sejauh 15 km terpaksa mendaki anak gunung dan menurun lima km untuk Hendek. Saya sampai di pekan berkenaan jam 7.40 malam. Keadaan sudah gelap, tetapi nasib baik ada lampu di basikal.

"Tidak syoknya ketika mendaki dihentam hujan lebat, apa lagi basah lenjun pakaian, sejuk. Bagi mengembalikan kehangatan badan, saya segera mencari restoran - pastinya kambing panggang menjadi sasaran," katanya.

Jarak Hendek ke Istanbul hanya 145 km, namun laluannya tidak semudah disangkakan, selain bentuk muka bumi, cuaca juga mempengaruhi kayuhan.

"Memandangkan terpaksa berkayuh melebihi jangkaan, saya terpaksa bermula lewat bagi memastikan tenaga pulih sepenuhnya. Saya mulakan kayuhan kira-kira jam 11 pagi, dua jam lewat daripada kebiasaan.

"Ketika bersiar-sia di pekan Hendek, saya bertemu seorang pengumpul dan penjual barangan antik, Ramzan, 43. Ketika berbual, beliau mengajak saya melawat galerinya yang menempatkan ratusan barangan antik.

"Terkejut saya apabila mendapati beliau memandu Mercedes keluaran 1959, manakala di galeri pula penuh dengan alat muzik, senjata api, pisau belati, lukisan dan macam-macam lagi.

"Sebelum saya beredar, beliau sempat memberitahu jika ada sesiapa penunggang basikal dari Malaysia datang ke Hendek jangan lupa menghubunginya, yesilbakan@hotmail.com. Sebagai tetamu, beliau akan menyediakan tempat penginapan secara percuma," katanya.

Hasan berkata, ketika melalui perkampungan Sarkaya-Izmit, beliau sempat merakam pemandangan indah di sepanjang perjalanan dan menemui penjual buah-buahan, Duan yang menghadiahkan lai untuk dimakan sepanjang berkayuh.

"Untuk meneruskan perjalanan ke Istanbul, basikal dilarang melalui jambatan Istanbul yang menghubungi Semenanjung Anatolia di Asia dengan bahagian kecil wilayahnya terletak di Wilayah Balkan Barat Laut Benua Eropah.

"Kenalah menaiki teksi atau feri yang merentasi Laut Marmara untuk sampai ke Istanbul. Melihat keadaan semakin gelap, saya berhenti rehat di bandar Kartepe," katanya.


HASAN bersama pelajar perempuan yang menuntut di beberapa universiti di Ankara.

Berbaki jarak 95 kilometer ke Istanbul, semangat bekas Pegawai Daerah Port Dickson itu semakin memuncak untuk segera sampai ke bandaraya terbesar di Turki itu.

"Menguji kekuatan mental saya, sudahlah terpaksa meredah kesesakan lalu lintas hampir sejam untuk melepasi bandar Kartepe, tiba di pinggiran kota pendakian sejauh dua km menanti.

"Dua tiga kali juga turun menolak basikal, bagaimanapun cuaca dingin seakan tidak terasa kepenatannya. Akhirnya juga tiba di Gebze untuk berhenti rehat solat dan menikmati pizza.

"Malangnya di Gebze tiada hotel untuk menginap dan saya mengubah perancangan ke Taksim. Keesokannya menaiki teksi ke bandaraya Istanbul untuk mengadakan perbincangan dengan Datuk Abd Razak, memandangkan basikal tidak dibenarkan melalui jambatan," katanya.

Menariknya di Istanbul atau Constantinople (nama lama Istanbul) ialah bangunan-bangunan lama di zaman Rom Byzantine masih kekal di sini.

Untuk tidak menghampakan, Hasan sempat ke jeti feri yang menghubungkan Istanbul Asia-Eropah bagi mengabadikan foto kenang-kenangan. Malah ketika berada di situ, beliau tertarik dengan sekumpulan remaja Turki sedang memancing ikan walaupun dalam cuaca dingin sekitar 8-10 darjah Celsius.

1016 dibaca
Berita Harian X