Jumaat, 21 Julai 2017 | 4:27pm
AIR sejuk keluar tanpa putus dari celahan batuan di Lata Air Berani.
PENULIS teruja bergambar di pondok Lata Air Berani di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.
SEBUAH bangsal mengurut badan yang lenguh turut disediakan.
PENGUNJUNG seronok memberi makan tupai hutan yang jinak makan di tangan.
LALUAN jambatan menghubungkan dua lokasi menarik di bukit turut dibina bagi kemudahan laluan pengunjung.
PANORAMA lokasi aktiviti mengintai ikan berlatar belakang bukit dari daratan Pulau Perhentian Kecil indah.
DI bawah jeti panjang di Perhentian Island Resort ini juga boleh menjalankan aktiviti termasuk melihat pelbagai spesies ikan jinak.

Pulau Perhentian sentiasa menggamit kedatangan pelancong

Kejernihan air dan keindahan panorama Pulau Perhentian di Kuala Besut, Terengganu menjadikan ia antara destinasi pelancongan popular bagi warga tempatan dan rakyat asing.

Suasana mendamaikan dengan pantai landai memberi keseronokan kepada pengunjung untuk menikmati hari percutian.

Kehadiran ribuan pelbagai spesies ikan jinak mengerumuni badan ketika mandi-manda turut menjadi faktor penarik pengunjung untuk terus mengunjunginya tanpa jemu.

Mengunjungi ke Pulau Perhentian bersama sekumpulan rakan baru-baru ini seperti balik ke kampung kerana penulis sudah lebih 20 tahun tidak berkesempatan memesrai pulau yang penuh kenangan ketika di zaman remaja dahulu.

Kepelbagaian hidupan marin selain kesesuaian lokasinya menjadikan pusat pelancongan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Besut ini popular dengan aktiviti seperti snorkeling, boating, perkhemahan, sukaneka dan melihat penyu bertelur.

Kawasan yang menjadi tumpuan


PEMANDANGAN indah Pulau Perhentian menjadi daya tarikan pelancong tidak jemu berkunjung ke pulau peranginan terkenal di utara Terengganu ini.


AKTIVITI menyelam berdekatan dengan chalet penginapan yang mudah dilakukan.

Kawasan pelancongan tertumpu di Teluk Pauh, Pasir Jong, Teluk Keke dan Teluk Dalam di Pulau Perhentian Besar, manakala di Pulau perhentian Kecil tertumpu di Pasir Panjang, Teluk Kerma, Teluk Aur serta di beberapa tempat di pantai sebelah timur.

Sebahagian besar di kedua-dua pulau ini masih diliputi hutan dara dengan spesies pokok seperti Cengal, Balau, Bitangor Laut, Kelat Laut dan Rhu yang menambahkan indah panorama alam ciptaan Tuhan ini.

Laut di sekitar pulau pula terdapat batu karang terutamanya di Pantai Tiga Ruang, Teluk Dalam, Tanjung Tukas Laut, Teluk Kerma dan di kawasan perairan antara Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar turut menjadi tumpuan.

Mengikut kajian yang dijalankan, kira-kira 50 spesies batu karang ditemui di sekitar Pulau Perhentian.

Meninjau keindahan alam


DERETAN chalet disediakan untuk kemudahan penginapan pengunjung ke pulau ini.

Di sesetengah tempat pula boleh didapati dua puluh jenis batu karang bagi setiap 200 meter persegi kawasan laut. Selain itu enam pantai berpasir menjadi tumpuan penyu karah dan penyu agar bertelur iaitu di Tanjung Gantung dan Pasir Pengalau di Pulau Perhentian Kecil.

Sementara di Pulau Perhentian Besar di Pasir Tiga Ruang, Tanjung Tiga Ruang, Tanjung Tukas Laut dan Tanjung Pinang Seribu.

Terdapat juga spesies burung layang-layang yang membuat sarang di gua sekitar Teluk Batu Tabir dan Gua Buaya.

Keaslian dan keindahan alam sekitar semula jadi yang belum terjejas seperti laut, daratan, pasir dan batu, gua, bukit, hutan dan tumbuhan semula jadi membolehkan pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti meredah hutan (jungle tracking), penyelidikan dan sebagainya.

Lokasi menarik perkelahan keluarga


DERETAN chalet disediakan untuk kemudahan penginapan pengunjung ke pulau ini.

Pasir putih dan bersih serta landai sesuai untuk kembara perkelahan seisi keluarga terutama di kawasan Perhentian Island Resort sambil menjamu selera di bawah pohon rimbun dengan dibelai semilir angin Laut China Selatan mengasyikkan.

Sementara di Long Beach pula, kawasan strategik untuk menyaksikan penyu bertelur sekiranya tiba musim dan boleh mendapatkan pelbagai barangan serta cenderahati di banyak kedai serbaneka selepas penat bersiar-siar di tepian pantai.

Malah, di Long Beach ini juga boleh mengintai ikan jinak selain aktiviti snorkeling kerana air cetek yang luas dan tenang, seronok berenang sehingga enggan untuk naik ke darat.

Kawasan Taman Laut di Pulau Perhentian ini pula sesuai sebagai lokasi untuk menyaksikan pelbagai spesies ikan bersaiz besar tetapi tidak dibenarkan mengusiknya supaya populasi di situ terus menjadi 'lubuk' ikan untuk sajian mata kepada pelancong yang datang.

Membilas badan di Lata Air Berani


MENGUTIP sampah terutama selepas diadakan aktiviti oleh kumpulan pelajar ini bagi memastikan pantai sentiasa bersih.

Sekitar Pulau Perhentian ini juga sesuai untuk berkenu atau sekadar berada di atas bot untuk melihat spesies ikan dan penyu bermain di dasar laut selain ia turut menjadi tumpuan pelancong untuk aktiviti scuba diving dan sijil yang dikeluarkan adalah diiktiraf di peringkat dunia.

Pengunjung juga boleh bermain-main dengan haiwan tupai hutan yang jinak makan di tangan turun dari batang pokok sungguh menghiburkan dan jika lenguh badan selepas seharian melakukan aktiviti boleh mengurut dari khidmat tukang urut tradisional di situ.

Semasa dalam perjalanan balik ke Kuala Besut, tidak sempurna jika tidak singgah di Lata Air Berani yang terkenal dengan air sejuk seperti ais yang keluar dari celahan batu bukit termasuk untuk membilas badan kerana ia air tawar tidak pernah kering.

INFO

  • * Pulau Perhentian terletak kira-kira 10.8 batu nautika atau 20 km ke timur Laut Kuala Besut memiliki gugusan pulau iaitu Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Pulau Susu Dara dan beberapa pulau kecil lain sekitarnya.
  • * Terdapat hanya sebuah kawasan penempatan iaitu di kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Kawasan penempatan ini seluas 9.87 hektar di bawah Program Penyusunan Semula (PPS) kampung nelayan tradisional.
  • * Hampir 80 peratus penduduk di sini terbabit dengan sektor pelancongan.

Cara ke Sana

  • - Dari Kuala Lumpur terus menaiki kenderaan ke Kuala Besut, Terengganu atau menaiki kapal terbang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu atau di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan sebelum ke Kuala Besut.
  • -Dari Kuala Besut menaiki bot pelbagai kelas atau lambat dan laju yang banyak ditawarkan berbagai agensi pelancongan di pekan itu untuk ke Pulau Perhentian.

FAKTA NOMBOR

* 1,400

Anggaran jumlah penduduk Pulau Perhentian

* 1,000

Jumlah bilik penginapan

* 40

Pengusaha resort, chalet

* RM80 - RM300

Kadar sewa bilik sehari

847 dibaca
Berita Harian X