Ahad, 16 September 2018 | 5:29pm
PENERBIT, pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac. - Foto Mahzir Mat Isa

Jangan politikkan industri filem, ganti dana FINAS

KUALA LUMPUR: Jangan politikkan industri perfileman tempatan dan sebagai pengkarya, mereka mestilah berusaha mencari dana sendiri.

Penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac berkata, pengkarya perlu ubah pemikiran mereka supaya tidak terlalu bergantung kepada dana kerajaan untuk menerbitkan filem.

Menurut pengarah filem Baik Punya Cilok itu, beliau pernah mohon dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sekali saja untuk menerbitkan filem Lemak Kampung Santan (LKS) pada 2013.

“Dana itu dipohon untuk melakukan teknik Pengimejan Berkomputer (CGI) dalam LKS dan dana itu saya minta FINAS salurkan terus kepada syarikat terbabit tanpa saya mengambil sedikit pun daripada peruntukkan yang diberikan.

“Saya ikhlas berkarya dan dana FINAS itu adalah wang kerajaan dan rakyat. Jadi, saya mesti menggunakan dana itu dengan cara terbaik dan betul,” katanya yang dihubungi hari ini menerusi aplikasi WhatsApp kerana beliau berada di luar negara atas urusan perniagaan.

Kata Hans, FINAS sepatutnya memberikan dana filem itu kepada syarikat berlesen dan mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi.

“Syarikat itu mesti ada rekod yang bagus dan FINAS perlu memantau pembikinan filem daripada awal sehinggalah ia ditayangkan di pawagam.

“Pemberian dana hanya kepada beberapa syarikat saja tidak sepatutnya berlaku dan FINAS perlu ada penilai bebas sebelum dana diluluskan.

“Saya tidak pernah bimbang diboikot atau tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak kerana saya berkarya secara bebas dan ada banyak cara untuk kita mendapatkan sumber kewangan asalkan kita bekerja secara ikhlas dan profesional,” katanya.

Hans berkata, FINAS perlu ada urus tadbir yang baik kerana ia membabitkan wang rakyat.

“Namun perkara itu masih dalam siasatan dan kita tidak boleh terus menyalahkan FINAS,” katanya.

Kelmarin, akhbar Harian Metro melaporkan dana FINAS sebanyak RM16 juta sudah tiga tahun diperoleh tetapi lapan filem yang dinantikan ‘ghaib’ sehingga kini.

Dipercayai, syarikat produksi itu dimonopoli dua individu yang menggunakan nama tujuh syarikat berbeza bagi memudahkan mereka membolot dana berkenaan.

Penerbit filem dan drama, Datuk A Aida mahu FINAS ‘korek’ sampai dapat syarikat yang sudah menerima dana tetapi gagal menerbitkan filem.

“Mereka ini hanya merosakkan industri perfileman negara dan tidak adil kepada penggiat seni yang benar-benar mahu berkarya.

“FINAS perlu mengambil tindakan yang drastik dan mereka yang gagal menerbitkan filem, minta bayar semula dana itu,” katanya ketika dihubungi.

Kata A Aida, melihatkan kejayaannya sebagai penerbit, ramai mencadangkan beliau untuk memohon dana FINAS.

“Saya tidak akan mohon dana FINAS begitu saja kerana saya tahu ramai lagi penerbit yang memerlukannya. Sehinggalah saya dapat skrip filem yang bagus iaitu Ratu Kala Jengking, barulah saya mohon dana terbabit dan dapat separuh saja daripada keseluruhan kos penerbitan filem itu.

“Lain-lain kos, syarikat saya tanggung sendiri. Untuk berkarya, syarikat produksi mesti ada kewangan yang kukuh.

“Sebelum dana diluluskan, FINAS mesti meneliti latar kewangan syarikat dan dapatkan penyata bank daripada mereka,” katanya.

Penerbit filem One Two Jaga, Bront Palarae berkata, FINAS perlu bertindak sebagai pengawal selia kepada penerbitan filem tempatan. Bagaimanapun, beliau yang juga pelakon, enggan komen kerana isu dana itu masih dalam siasatan.

“Biarlah proses undang-undang berjalan tanpa kita cuba menjadi hakim,” katanya ketika dihubungi.

Bront berkata, filem One Two Jaga adalah antara penerima dana produksi FINAS dan pasukan produksinya sangat berterima kasih atas bantuan itu.

“Apa yang dilakukan FINAS, pasti mereka mempunyai justifikasi mereka sendiri. Ada juga permohonan saya ditolak sebelum ini tetapi bagi saya penolakan itu mungkin tidak selari dengan aspirasi dan objektif bantuan yang dipohon.

“Apapun, sebagai penerbit dan pengkarya, mereka mesti berasa malu jika menghasilkan filem yang jelek dan sekarang rata-rata kita dapat melihat peningkatan kualiti filem-filem tempatan dan bersama-samalah kita menyokong usaha ini,” katanya.

974 dibaca
Berita Harian X