Sabtu, 15 September 2018 | 4:55pm
DATUK Lee Chong Wei (tengah) bersama pelakon utama filem kisah hidupnya, Jake Eng (kiri) dan Tosh Chan, pada majlis pelancaran naskhah berkenaan di Kuala Lumpur, November tahun lalu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

8,000 pawagam di China tayang filem Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR: Filem biopik Lee Chong Wei mencipta sejarah tersendiri apabila membolosi 8,000 pawagam di China, sejak 7 September lalu.

Menurut penerbitnya, Josiah Chieng, walaupun dianjakkan daripada tarikh sepatutnya, sekitar Mei lalu, ‘lampu hijau’ daripada kerajaan republik terbabit tetap memberikan nafas lega kepada keseluruhan produksi.

“Bukan mudah untuk menembusi pasaran China, apatah lagi dapat diletakkan di bawah kategori filem import yang membolehkan naskhah ini ditayangkan di 8,000 pawagam di kebanyakan wilayah.

“Memang ada karya kita dibawa ke sana, tetapi ia tidak mendapat tayangan sebanyak filem Lee Chong Wei. Kami difahamkan, kategori filem import mempunyai kuota untuk tayangan menyeluruh dan majoritinya adalah produk Hollywood.

“Bagi saya, penerimaan ini sahaja sudah menjadi kejayaan buat kami dan industri filem tempatan, khasnya. Secara tidak langsung kita mampu menonjolkan karya dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.

“Daripada maklum balas, rata-rata memberikan komen positif. Mereka mengakui dapat melihat semangat dan kecintaan Chong Wei terhadap sukan badminton,” katanya kepada BH Online.

Filem arahan Tee Bee Leng yang menampilkan lakonan Datuk Rosyam Nor, Tosh Chan, Jake Eng, Ashley Hua dan Agnes Lim, menemui penonton negara ini pada Mac lalu.

Ia mengisahkan kehidupan awal jaguh sukan itu yang penuh berliku hingga akhirnya meraih impian bergelar pemain badminton nombor satu dunia.

Kata Josiah lagi, pada bulan ini juga filem terbabit ditayangkan di Hong Kong, Macau dan Taiwan, sebelum meneroka pasaran Indonesia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Menyentuh mengenai cabaran membawa filem itu ke republik berkenaan, katanya, biarpun mengambil masa hampir tiga tahun menunggu lampu hijau, kerjasama daripada pengedar di sana, kerajaan China dan kedutaan Malaysia sangat mengharukan.

“Kami sedar banyak laluan berliku perlu ditempuhi. Sebenarnya, ketika praproduksi lagi kita sudah mengemukakan permohonan dan langkah agresif diambil selepas ia disempurnakan.

“Cuma, khabar gembira tiba ketika filem ini hampir siap, setahun lalu. Waktu itu ada pengedar dari China yang sudah menontonnya sekali gus tertarik untuk memasarkannya di negara mereka,” ulasnya.

1735 dibaca
Berita Harian X