Selasa, 11 September 2018 | 4:13pm
BINTANG utama On Two Jaga, Zahiril Adzim. - Foto: Khairul Azhar Ahmad

'One Two Jaga bukan burukkan imej pasukan keselamatan'

PETALING JAYA: Pelakon, Zahiril Adzim, menegaskan filem lakonannya, One Two Jaga, bukan menuduh semua anggota polis terbabit dalam rasuah, sebaliknya ia hanya membongkar perbuatan segelintir mereka yang bersikap tamak.

Kata aktor berusia 34 tahun itu, bapa mentuanya sendiri adalah anggota polis berdedikasi, sekali gus mana mungkin filem terbabit cuba memburukkan imej pasukan keselamatan negara yang banyak berjasa.

“Segala-galanya dilakukan mengikut syarat digariskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sama ada dari segi babak mahu pun dialog. Saya sendiri memainkan watak anggota polis baharu bernama Hussein yang diperlihatkan sebagai naif, namun bersemangat tinggi untuk memerangi jenayah.

“Saya pula menjiwai watak berkenaan menerusi pemerhatian terhadap cara mereka, seperti dalam percakapan, dan tentu saja tidak berlebih-lebih. Contohnya, ketika bertugas dan perlu menahan orang awam, saya memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa.


ZAHIRIL Adzim (kiri) dan pengarah, Nam Ron. - Foto: Khairul Azhar Ahmad

“Bahasa yang saya gunakan juga tidak kasar walaupun dalam sesuatu situasi yang mampu membuatkan anak muda berusia 23 tahun seperti Hussein mudah naik darah,” katanya ketika majlis tayangan filem berkenaan, di sini.

Menurut suami kepada pelakon, Shera Aiyob itu, bapa mentuanya sendiri maklum mengenai pembabitan dirinya dalam filem yang mampu mendidik masyarakat itu, walaupun beliau tidak mengetahui perincian plot ceritanya.

Selain Zahiril, filem aksi yang sudah menyertai beberapa festival filem luar negara itu itu turut menampilkan pelakon Malaysia dan Indonesia seperti Rosdeen Suboh, Vanidah Imran, Amerul Affendi, Ario Bayu serta Asmara Abigail.

Antara lokasi yang sudah disinggahi naskhah terbabit ialah Festival Filem Timur Jauh Ke-20 di Udine, Itali, April lalu dan Festival Filem Asia New York pada Julai.

Filem arahan Nam Ron hasil terbitan syarikat milik Bront Palarae itu berkisar mengenai isu rasuah dan mula menemui penonton pada 6 September lalu.

958 dibaca
Berita Harian X