Jumaat, 31 Ogos 2018 | 5:09pm
MUNAFIK 2 arahan Syamsul Yusof meraih RM5.65 juta hari pertama tayangan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Lakar sejarah baharu, Syamsul rancang sambungan Munafik 2

KUALA LUMPUR: Filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof mencipta rekod baharu dalam sejarah perfileman Melayu apabila mengutip RM5.65 juta selepas memulakan tayangannya, semalam.

Pada tayangan awal (sneak preview) Rabu lalu, filem bergenre seram Islamik itu mengaut RM2.05 juta, sekali gus meleburkan rekod filem Hantu Kak Limah yang mendapat kutipan RM650,000.

Sementara itu, filem ke-40 terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu turut mencipta sejarah baharu dengan meraih RM3.6 juta apabila ditayangkan secara rasmi, semalam.

Syamsul yang masih terkejut dengan sambutan luar biasa itu mengakui, dia hampir hilang kata-kata kerana masih tidak percaya Munafik 2 menempa kejayaan sehebat itu.

“Bapa, Datuk Yusof Haslam datang memeluk saya dengan kuat dan meminta maaf kerana pernah memarahi saya apabila lambat menyiapkan filem ini.

“Alhamdulillah, inilah hasilnya. Mungkin filem ini agak lambat siap kerana saya teliti setiap kali melakukan kerja demi menghasilkan filem yang berjiwa,” katanya.

Syamsul berkata, dia dan bapanya tidak berani meletakkan sasaran tinggi, apatah lagi untuk mengatasi kutipan Hantu Kak Limah kerana baginya, filem arahan Mamat Khalid itu terlalu hebat dan rekodnya seperti mustahil untuk diatasi.

Penerimaan ramai terhadap Munafik 2 dan Hantu Kak Limah, kata Syamsul, membuktikan filem Melayu masih unggul untuk menarik peminat ke pawagam dan melakar sejarah di bumi sendiri.

“Saya diberitahu, ada sesetengah pawagam sekitar bandar utama seperti Johor Bahru, Putrajaya, Kuala Lumpur dan beberapa tempat lagi menyediakan 30 slot tayangan setiap hari.

“Momentum Munafik 2 dikatakan sehebat filem antarabangsa, jadi pihak pawagam terpaksa menambah tayangan setiap hari,” katanya yang berhasrat menghasilkan sambungan produksi itu.

8192 dibaca
Berita Harian X