Rabu, 29 Ogos 2018 | 10:15am
PENGARAH, Syamsul Yusof (dua dari kanan) dan Yusof Haslam (kanan) bersama barisan pelakon pada Malam Gala Filem Munafik 2 di E-Curve, Damansara. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Munafik 2 cuba pasaran Thailand, Kemboja dan Vietnam

PETALING JAYA: Skop Productions berhasrat untuk meneroka beberapa pasaran baharu bagi filem seram Islamik terbitannya, Munafik 2, iaitu Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata sebelum ini filem pertama, Munafik, berjaya menarik perhatian penonton Indonesia ketika ia ditayangkan di negara itu, sekitar Oktober 2016.

Judul susulan terbabit yang akan menemui penonton tempatan, esok, juga sekali lagi akan ditayangkan di negara jiran itu apabila 50 pawagam bersedia untuk berbuat demikian mulai 26 September depan.

"Kami sangat komited untuk membawa karya ini ke luar negara selepas Munafik mendapat sambutan baik ketika ditayangkan di Indonesia, dua tahun lalu.


PENERBIT, Datuk Yusof Haslam pada Malam Gala Filem Munafik 2 di E-Curve, Damansara. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Berikutan mesej yang dibawakan dirasakan sesuai bagi tontonan semua bangsa, kita merancang untuk membawa filem ini ke Thailand, Kemboja dan Vietnam selepas tayangannya di sini," kata Yusof ketika berucap pada majlis tayangan perdana naskhah arahan Syamsul Yusof itu, di sini.

Filem yang menelan perbelanjaan kira-kira RM3 juta itu membariskan pelakon seperti Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali, Nasir Bilal Khan, Mawi dan Syamsul sendiri. Munafik 2 ialah filem ke-10 arahan Pengarah Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik ke-57 itu.

Mengambil masa kira-kira 72 hari penggambaran dan hampir setahun untuk proses suntingan, ia juga akan ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei, mulai esok.

"Ketika ini, kami dalam proses mendapatkan tarikh tayangan di ketiga-tiga negara terbabit. Ia menjadikan Munafik 2 sebagai filem pertama daripada kami yang dipasarkan ke luar Nusantara.

"Melihat sambutan ramai terhadap karya tempatan kebelakangan ini, seperti Hantu Kak Limah yang mencapai kutipan lebih RM30 juta, kami yakin Munafik 2 juga sebuah karya yang mampu memenuhi kehendak dan selera penonton,” katanya sambil menyatakan kekaguman terhadap filem garapan anaknya itu.

Menerusi kisah susulan itu, Ustaz Adam lakonan Syamsul berdepan cabaran menyekat penyebaran ajaran sesat oleh sebuah kumpulan diketuai oleh Abuja (Nasir Bilal Khan).

3411 dibaca
Berita Harian X