Ahad, 26 Ogos 2018 | 10:23am
PENERBIT dan pengarah, Datuk Yusof Haslam. - Foto: Nur Adibah Ahmad Izam
BINTANG utama filem Munafik 2, Syamsul Yusof dan Maya Karin. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Yusof yakin kekuatan Munafik 2

KUALA LUMPUR: Penerbit, Datuk Yusof Haslam, enggan meletakkan pungutan sasaran terhadap filem terbaru keluaran Skop Productions, Munafik 2.

Katanya, beliau percaya pada kekuatan naskhah garapan anaknya, Syamsul, selain jenama filem terbabit yang turut mempunyai pengikutnya sendiri.

“Sejak dulu, kalau boleh saya enggan meletakkan sebarang sasaran dari segi pungutan bagi filem terbitan kami. Ia sesuatu yang di luar jangkaan kita.

“Begitupun, sudah tentu saya berharap Munafik 2 akan mendapat sambutan ramai. Jika ia mampu memungut kembali modal yang dikeluarkan, pencapaian itu dikira sudah menggembirakan. Jadi, bolehlah kami terus menghasilkan filem seterusnya,” katanya kepada BH Online.

Munafik 2, yang menelan belanja RM2.8 juta untuk dihasilkan, akan menemui penonton pada 30 Ogos ini. Ia menampilkan pelakon seperti Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali, Mawi dan Syamsul sendiri.

Sementara itu, Yusof yang juga seorang pengarah berkata, beliau tidak berasa tergugat dengan pencapaian hebat dilakukan filem Hantu Kak Limah apabila ia mencatatkan pungutan lebih RM27 juta dalam masa 15 hari tayangannya.

“Saya sebaliknya amat berbangga dengan sambutan begitu baik diberikan oleh penonton terhadap filem tempatan.

“Saya lihat, karya arahan Mamat Khalid benar-benar memenuhi cita rasa penonton. Namun, Hantu Kak Limah tidak boleh dibandingkan dengan Munafik 2 kerana genre kedua-duanya berbeza,” kata Yusof.

Beliau turut berharap pencapaian filem berkenaan memberikan semangat kepada produser dan pengarah lain untuk menghasilkan karya lebih baik.

2972 dibaca
Berita Harian X