Sabtu, 25 Ogos 2018 | 3:15pm
CHRISTIAN Liew (tengah) ketika sidang media pelancaran filem `RISE: Ini Kalilah’ di Hotel Hilton. - Foto Khairull Azry Bidin

'RISE: Ini kalilah' masuk pawagam 13 September

KOTA KINABALU: Filem `RISE: Ini Kalilah’ yang bertemakan perpaduan bakal muncul di pawagam di seluruh negara, dengan jangkaan ditayangkan pada 13 September ini.

Filem selama 100 minit itu menjadikan pilihan raya umum pada 9 Mei lalu sebagai ilham, dengan semua kelompok rakyat Malaysia berganding bahu mengundi untuk sebuah negara yang baharu.

Penerbit filem itu, Fred Chong, berkata syarikat penerbit filemnya iaitu WebTVAsia akan mengadakan tayangan perdana sedunia filem itu pada 3 September ini di Kuala Lumpur.

“Penggambaran filem ini dijalankan di Malaysia, Singapura dan United Kingdom. Berlatar belakang detik-detik mendebarkan dalam catatan sejarah Malaysia, projek filem ini dilancarkan tatkala Malaysia mengalami perubahan yang terpenting selepas 61 tahun mendapat kemerdekaan.

“Kita berjaya menyiapkan filem ini dalam masa yang amat singkat iaitu kira-kira tiga bulan saja, selepas pilihan raya lalu. Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat berbilang bangsa, antaranya Remy Ishak, Mira Filzah dan Sangeeta Krishnasamy.

“Sebagai anak Sabah, saya rasa bangga dapat melancarkan projek filem yang berunsurkan patriotik, dengan tujuan menyatupadukan rakyat seluruh negara daripada pelbagai bangsa dan latar belakang sosio ekonomi,” katanya dalam sidang media mengenai filem itu, di sini hari ini.

Majlis sidang media itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew selain Pengarah filem berkenaan, Saw Teong Hin serta beberapa pelakonnya iaitu Sharifah Sakinah dan Mark O’dea.

Filem ‘RISE: Ini kalilah’ yang bakal ditayangkan sempena Hari Malaysia adalah untuk meraikan kejayaan rakyat Malaysia mencapai matlamat yang mengagumkan.

Jalan cerita filem ini memaparkan kisah mengenai enam individu yang bertembung pada 9 Mei 2018, hari yang penuh sejarah. Ia juga mengenai kehidupan rakyat biasa yang bergabung demi matlamat yang sama iaitu kasih terhadap negara.

Terdahulu, Christina berkata, Sabah menawarkan banyak tempat menarik untuk dipromosikan kepada pihak luar termasuk menerusi pengambaran filem.

“Kita ada gunung, hutan dan pulau yang kini menjadi tarikan ramai pelancong dari luar negara. Justeru, saya berharap pada masa akan datang, lebih banyak projek seperti filem ini akan dijalankan di Sabah.

“Kementerian saya akan terus membantu kerana ia bukan saja untuk menyatupadukan rakyat tetapi pada masa sama mempromosikan negeri ini.

Saya berharap pada masa hadapan, pembikinan filem berunsurkan kebudayaan dan kepelbagaian kaum di Sabah dapat dilaksanakan.

“Saya amat berbangga dengan kejayaan Fred, yang juga berasal dari Sabah, kerana mampu menerbitkan filem seperti ini dan berharap lebih ramai lagi rakyat Sabah akan terbabit dalam projek filem pada masa akan datang,” katanya.

1247 dibaca
Berita Harian X