Jumaat, 17 Ogos 2018 | 3:31pm
PENGARAH filem, Mamat Khalid. - Foto Mahzir Mat Isa
MAMAT Khalid (tengah) bergambar bersama pelakon dan penerbit pada majlis tayangan Hantu Kak Limah di Mutiara Damansara, baru-baru ini. - Foto Mahzir Mat Isa

Hantu Kak Limah ada sambungan

hanisah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Filem Hantu Kak Limah yang mencatat pungutan mencecah RM13.6 juta sejak ditayangkan bermula 9 Ogos lalu bakal disambung lagi dengan penambahan pelbagai elemen kejutan.

Pengarahnya, Mamat Khalid, berkata pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan penerbit, Astro Shaw dan Infinitus Gold, untuk menghasilkan filem susulannya bersandarkan permintaan ramai.

“Kami menerima maklum balas memberangsangkan daripada mereka yang menonton Hantu Kak Limah dengan rata-rata meminta ia disambung lagi.

“Semuanya masih dalam perbincangan dan kita belum dapat memutuskan apa-apa ketika ini berikutan filem berkenaan juga sedang ditayangkan.

“Ramai yang mahu watak Kak Limah muncul semula andai susulannya direalisasikan, namun sama ada ia dilakukan dalam babak imbas semula atau filem prekuel, kita tunggu saja nanti,” katanya kepada BH Online.

Menurut Mamat, paling utama, plot cerita yang bakal disajikan perlu diperincikan sebaik mungkin.

“Siri Kampung Pisang ini digemari disebabkan ia sangat dekat dengan semua lapisan masyarakat. Jadi, sudah tentu paparan kisah untuk filem seterusnya takkan lari daripada tema sama. Cuma bezanya adalah dari segi kejutan yang akan diselitkan,” katanya.

Filem yang ‘menghantui’ 146 pawagam termasuk Singapura dan Brunei itu membariskan pelakon seperti Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie dan Mus May, selain penampilan khas Erra Fazira.

Hantu Kak Limah adalah judul keempat dalam siri Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Sementara itu, naskhah berkenaan turut memegang rekod filem pecah panggung dengan tayangan pembukaan meraih pungutan RM1.8 juta.

6196 dibaca
Berita Harian X