Isnin, 9 April 2018 | 5:05pm
PELAKON utama filem Dukun, Datin Seri Umie Aida. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Artis bantu Dukun raih RM6.2 juta

KUALA LUMPUR: Filem kontroversi, Dukun terus menggegar pawagam dengan kutipan tiket lebih RM6.2 juta selepas empat hari ditayangkan di Malaysia dan Brunei.

Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar memberitahu, filem arahan Dain Said itu mencatat sejarah apabila ditayang 34 kali sehari oleh pemamer atau pemilik pawagam berdasarkan sambutan baik penonton.

"Setakat ini, Dukun mencipta sejarah peribadi buat Astro Shaw baik daripada segi kutipan hari pertama dan keempat hinggalah ditayang lebih 30 kali sehari oleh pemamer.

"Malah, filem ini menduduki tangga pertama carta pawagam mengatasi filem antarabangsa.

"Terima kasih atas sokongan 'kaki wayang' yang 'turun' ke pawagam. Tidak terkecuali artis yang tanpa berbelah bagi berkongsi pengalaman mereka menonton filem ini menerusi laman sosial," katanya kepada BH Online.

Antara artis yang berkongsi sokongan terhadap filem Dukun adalah Nabila Huda, Azhan Rani dan Fathia Latiff.

Selain itu, promosi awal filem terbabit melalui penyebaran klip video perempuan menggayakan kebaya merah seminggu sebelum Dukun ditayangkan, ditonton lebih 30 juta kali.

Najwa berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan inisiatif semua pihak dan menyarankan mereka yang belum menonton filem terbabit supaya tidak bertangguh lagi.

Selepas 12 tahun terperap, filem kontroversi yang dikatakan mendapat ilham daripada kisah benar itu, mula menemui penonton 5 April lalu di 133 pawagam di seluruh negara termasuk Brunei.


PENGARAH filem Dukun, Dain Said (tengah) bersama barisan pelakon, (dari kiri) Hasnul Rahman, Faizal Hussein, Datin Seri Umie Aida dan Elyana pada majlis tayangan media filem Dukun di TGV KLCC, baru-baru ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Antara lain, dukun mengisahkan seorang ahli politik, Datuk Jefri, lakonan Adlin Aman Ramlie yang meminta khidmat Diana (Datin Seri Umie Aida) menjadikan dirinya kebal selain mahu kerjaya politik cerah.

Selain Umie dan Adlin, barisan pelakon yang memantapkan kisah mendebarkan itu termasuk Namron, Bront Palarae, Soffi Jikan, Elyana dan Faizal Hussein.

8775 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »