Jumaat, 6 April 2018 | 8:38pm
PENGARAH filem Dukun, Dain Said (tengah) bersama barisan pelakon, Hasnul Rahmat, Faizal Hussein, Datin Seri Umie Aida dan Elyana pada majlis tayangannya di TGV KLCC. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Dukun catat RM1.5j hari pertama tayangan

KUALA LUMPUR: Filem kontroversi, Dukun, mencatat sejarah buat syarikat penerbitannya apabila meraih kutipan tertinggi kira-kira RM1.5 juta pada hari pertama tayangannya, semalam.

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, berkata jumlah yang diperoleh daripada 120 pawagam seluruh negara dan Brunei itu adalah yang tertinggi bagi filem terbitan serta edaran syarikat berkenaan.

"Astro Shaw berbesar hati mengumumkan filem Dukun membuka tayangan hari pertama di pawagam dengan catatan manis bersama kutipan menghampiri angka RM1.5 juta.

"Kami juga menerima berita baik daripada pihak pempamer apabila adanya penambahan lokasi tayangan, dengan jumlah keseluruhan 133 pawagam setakat ini," katanya menerusi kenyataan kepada BH Online.

Bersandarkan rekod, kutipan pembukaan filem sulung arahan Dain Said itu hampir menyamai pungutan hari pertama KL Gangster sebanyak RM1.6 juta. Filem aksi berkenaan diterbitkan oleh Skop Productions pada 2011.

Terdahulu, naskhah lakonan Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Namron, Bront Palarae dan Hasnul Rahmat ini mencetuskan kontroversi sejak disiapkan 12 tahun lalu apabila kononnya ia sarat unsur ganas, khurafat dan menyinggung sensitiviti sesetengah pihak.

Ekoran kontroversi dan pelbagai spekulasi yang timbul, tayangan Dukun dikatakan ditunda beberapa kali sebelum menemui penonton bermula semalam.

8881 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »