Rabu, 4 April 2018 | 2:19pm
DATUK Norman Abdul Halim. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Dukun beri saingan sihat

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) melihat isu pemberian slot tayangan tanpa melalui proses penjadualan Skim Wajib Tayang (SWT) kepada filem kontroversi arahan Dain Said, Dukun sebagai perkembangan sihat kepada industri sinematik tempatan.

Presidennya, Datuk Norman Abdul Halim berkata, filem komersil yang bagus perlu dinilai bersandarkan merit dan tidak semestinya perlu menunggu lama untuk mendapatkan slot tayangan.

"Sebuah penerbitan seperti Dukun yang baik daripada sudut penceritaan, teknikal dan pemasaran tidak seharusnya disekat untuk bersaing dalam pasaran terbuka.

"Saya melihat proses pemberian slot berdasarkan merit ini sebagai perkembangan sihat walaupun lari daripada kebiasaan yang dipatuhi dalam proses pengedaran filem tempatan," katanya kepada BH Online.

Berikutan itu, Norman menghargai inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan SWT yang banyak membantu industri serta penerbit baharu.

"Namun, kita harap harap sistem itu tidak disalah guna mana-mana pihak terutama mereka yang tidak bersungguh-sungguh menghasilkan produk berkualiti.

"Kesannya boleh menjejaskan keyakinan penonton terhadap filem tempatan," katanya.

Terdahulu, peminat dan pengkritik filem menyambut baik pengumuman Astro Shaw yang akan menayangkan filem seram, Dukun selepas 12 tahun terperap di 100 pawagam di seluruh negara, mulai esok.

Filem lakonan Datin Paduka Umie Aida dan Adlin Aman Ramlie itu dikatakan mencetus kontroversi apabila mengambil ilham daripada kes pembunuhan berprofil tinggi membabitkan seorang ahli politik hingga tayangannya tertangguh, beberapa kali.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan mengapa filem Dukun dimasukkan dalam senarai tayangan, pada saat-saat akhir.

Sementara itu, Norman berharap pindaan Syarat Skim Wajib Tayang diluluskan dalam masa terdekat untuk memastikan hanya filem tempatan berkualiti, mendapat slot tayangan di pawagam demi kebaikan industri perfileman dan penonton.

"Memang ada kekurangan bagi filem yang tidak melalui SWT iaitu hilangnya kelayakan filem terbabit mendapatkan Insentif Tabung Filem Cereka dari FINAS.

"Namun, biar apa pun keputusan, sama ada ingin menayangkan filem melalui SWT atau tidak, sewajarnya terpulang kepada penerbit atau pelabur filem itu sendiri. Tidak perlulah kita mempertikaikan keputusan perniagaan masing-masing," katanya.

3721 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »