Isnin, 2 April 2018 | 11:40am

'12 tahun terperap, Dukun masuk pawagam'

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 12 tahun terperap, filem kontroversi yang dikatakan mendapat ilham daripada kisah benar, Dukun lakonan Datin Paduka Umie Aida akan ditayangkan di seluruh negara, mulai Khamis ini.

Berita itu diumumkan penerbit melalui entri pada Instagram yang disertai poster dan treler filem seram berkenaan, sejak kelmarin.

Perkongsian yang pantas menarik perhatian netizen itu berbunyi:

"Akhirnya kita bertemu Perempuan Kebaya Merah. Siapakah dia? Nantikan kemunculannya tepat jam 12 tengah malam ini," kata entri berkenaan.

Antara lain, dukun mengisahkan seorang ahli politik, Datuk Jefri, lakonan Adlin Aman Ramlie yang meminta khidmat Diana (Umie) menjadikan dirinya kebal selain mahu kerjaya politik cerah.

Selain Umie dan Adlin, barisan pelakon yang memantapkan kisah mendebarkan itu termasuk Namron, Bront Palarae, Soffi Jikan, Elyana dan Faizal Hussein.

Sebelum ini, selepas filem Dukun arahan Dain Said siap pada 2006, penerbit dikatakan berdepan masalah menayangkan karya terbabit. Antara faktor yang dikatakan menghalang Dukun ditayangkan termasuk babak ganas selain menyentuh sensitiviti pihak tertentu.

Sepatutnya, Dukun yang dihasilkan pada kos kira-kira RM2.8 juta, boleh ditonton pada Disember 2006. Namun, tarikh itu berganjak ke Mac tahun berikutnya hinggalah tertunda beberapa kali.

Rentetan itu, timbul dakwaan Dukun diharamkan Lembaga Penapis Filem (LPF). Namun, pihak terbabit mengesahkan tidak pernah mengharamkan filem berkenaan.

BH Online difahamkan, filem Dukun sudah mendapat kelulusan pada 8 Mac lalu dan diletakkan di bawah klasifikasi P13 atau penonton yang melebihi usia 13 tahun.

Bagaimanapun, wakil penerbit iaitu Astro Shaw, enggan memberikan butiran lanjut mengenai tayangan filem ini. Sebaliknya, meminta media menunggu lusa untuk menghadiri majlis previu filem berkenaan.

9064 dibaca
Berita Harian X