Isnin, 19 March 2018 | 6:15pm
PENGARAH KL Special Force, Syafiq Yusof (kiri) bersama bapanya, Datuk Yusof Haslam. - Foto: Nurul Shafina Jemenon

KL Special Force catat RM9j dalam 10 hari

KUALA LUMPUR: Penerbit, Datuk Yusof Haslam, berharap pungutan KL Special Force akan terus meningkatkan walaupun berdepan dengan saingan filem antarabangsa lain.

Katanya, sambutan cukup memberangsangkan diterima oleh filem arahan anaknya itu sudah tentu memberikan semangat buat Syafiq, 25, menghasilkan karya lebih berkualiti pada masa akan datang.

Yusof berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan filem terbitan Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios itu mencatatkan kutipan RM9 juta selepas 10 hari tayangan.

"Sebenarnya, kami tidak meletakkan harapan tinggi dari segi kutipan, namun jumlah yang dicatatkan KL Special Force sehingga kini menunjukkan perkembangan positif. Syafiq sendiri kini dilihat lebih bersemangat untuk mengorak langkah dalam bidang pengarahan.

"Buat masa ini, kami belum mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan judul susulannya kerana jadual kerja Syafiq sangat padat. Lazimnya, dia dan abangnya, Syamsul, paling banyak pun hanya akan menghasilkan dua filem setahun.

"Syafiq sendiri mengakui, KL Special Force masih mempunyai beberapa kelemahan kerana filem aksi sebegini memerlukan tempoh selama tiga bulan, sekurang-kurangnya, untuk menjalani penggambaran," katanya kepada BH Online.

Tinjauan di media sosial turut mendapati, netizen menggemari hasil sentuhan Syafiq itu dan mereka menyifatkannya sebagai penanda aras baharu untuk filem tempatan.

KL Special Force menyaksikan lakonan hebat Datuk Rosyam Nor bersama-sama bintang popular, Fattah Amin dan Syamsul. Ia turut dibantu oleh Tania Hudson, Esma Daniel, Sabrina Ali, Ramona Zamzam, Puteri Balqis dan Josiah Hogan.

Dalam perkembangan terbaru, Yusof turut berkongsi pengarah muda terbabit bakal memulakan penggambaran filem seram berjudul Misteri Delaila, hujung bulan ini.

Filem terbabit bakal menampilkan pelakon Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Rosyam, Elizabeth Tan dan ramai lain.

5929 dibaca
Berita Harian X