Khamis, 15 March 2018 | 10:56am
(dari kiri) Ahmad Idham, Achey Kintang Kintung, Risteena Munim dan Cat Farish pada pra tonton filem Hantu Wangan di MM Cineplex, e-Curve, Mutiara Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ahmad Idham mahu lapor SPRM isu agih pawagam

PETALING JAYA: Tidak berpuas hati dengan proses agihan pawagam mengikut Skim Wajib Tayang termasuk mendakwa panel penilai menyifatkan filem arahannya, Hantu Wangan 'kecil', Ahmad Idham akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah dan penerbit itu mahu SPRM menyiasat jawatankuasa skim berkenaan yang didakwanya tidak adil dalam membuat keputusan berhubung jumlah pawagam bagi tayangan filem terbaharunya itu.

Ahmad memberitahu, beliau menyedari ada sesuatu yang berlaku dalam jawatankuasa berkenaan hingga filem Hantu Wangan pada mulanya hanya diluluskan untuk ditayangkan di 25 pawagam, berbanding 40 premis dipohon.

"Saya minta bukan banyak, hanya 40 pawagam. Saya diibarat mengemis di negara sendiri untuk minta ditambah pawagam. Selepas gagal mendapat jumlah pawagam yang dimahukan, saya buat rayuan pertama. Selepas itu, hanya empat tambahan pawagam diluluskan jawatankuasa terbabit.

"Saya buat rayuan kedua dan jumlah pawagam ditambah kepada lebih 30 premis. Mujur dalam kalangan pempamir adalah kenalan saya. Disebabkan simpati, mereka menambah jumlah pawagam menjadi 43 premis. Alasan yang diberi jawatankuasa itu, filem saya 'kecil'. Sejak bila ada syarat filem 'kecil' atau 'besar' dalam menentukan jumlah pawagam? Kenapa tidak ada buku peraturan yang dikeluarkan?," katanya.

Ahmad yang kecewa dengan senario itu mendakwa isu berhubung proses dan pertimbangan jumlah pawagam yang dilaksanakan skim terbabit sudah lama berlaku, tetapi tidak ada penerbit filem yang berani tampil ke depan.


AHMAD Idham (berdiri tiga kanan) bersama pelakon-pelakon Hantu Wangan pada pra tonton filem tersebut di MM Cineplex, e-Curve, Mutiara Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tidak menyalahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memperkenalkan Skim Wajib Tayang, Ahmad Idham sebaliknya mendakwa ada yang tidak kena pada peringkat jawatankuasa yang dilantik sebagai pelaksana skim berkenaan.

"Saya fikir ada sesuatu yang berlaku kerana mereka boleh mengubah keputusan yang dibuat sesuka hati selepas saya membuat rayuan berulang kali. Kita ada 150 pawagam di Malaysia, saya cuma minta 40 pawagam. Dalam jawatankuasa ini, pihak pawagam hanya mewakili satu peratus daripada keputusannya, selebihnya ditentukan penerbit dan anggota yang dilantik," katanya.

Ahmad berkata, beliau sedang mengumpul maklumat sebelum membuat laporan penuh mengenai insiden itu kepada SPRM.

"Saya tidak berpuas hati sebab kerajaan wujudkan skim ini untuk bantu industri, tetapi ini pula yang terjadi. Saya bukan selalu buat filem. Apabila ini berlaku, saya perlu buat sesuatu. Malah, pernah terjadi, filem saya hanya ditayangkan pada waktu siang. Disebabkan itulah sesebuah filem gagal dalam kutipan sebab sikap 'orang' dalam skim ini," katanya.

Malam tadi, Ahmad dan barisan pelakon filem komedi seram yang dibintangi Achey Bocey, Risteena Munim dan Cat Farish itu hadir pada sesi pratonton, di sini. Hantu Wangan menemui penonton di 43 pawagam seluruh negara mulai Khamis depan.

3772 dibaca
Berita Harian X