Ahad, 25 Februari 2018 | 1:44pm
FILEM Black Panther menampilkan aksi mengagumkan.
ANTARA babak menarik dalam Black Panther.
ANTARA babak menarik dalam Black Panther.
BLACK Panther mula menemui penonton di Malaysia pada 14 Februari 2018.

Black Panther suntik harapan baharu

MENERUSKAN tradisi naskhah terbitan Marvel, Black Panther yang menemui penonton sejak 14 Februari lalu terus menguasai pasaran apabila ia muncul sebagai filem nombor satu di seluruh dunia.

Menampilkan watak adiwira Black Panther buat kali kedua di layar perak dalam alam semesta Marvel, selepas kemunculan sulungnya menerusi Captain America: Civil War (2016), kali ini peminat dibawa ke sebuah negara dikenali sebagai Wakanda di Afrika, yang kaya dengan tradisi dan sejarahnya.

Tidak diketahui ramai, negara dihuni oleh beberapa puak itu turut dianugerahkan dengan sejenis galian dikenali sebagai vibranium. Kerajaan negara itu menggunakan logam terbabit untuk memajukan diri dan rakyatnya, tanpa mendedahkan keupayaan dimiliki mereka kepada masyarakat luar.

Namun, konflik mula menjelma apabila logam itu dicuri oleh pedagang haram dan wujudnya idea baharu bagaimana Wakanda perlu keluar daripada kepompong lama dengan membantu negara tertindas, menggunakan kelebihan dimiliki mereka.

Kini, semuanya bergantung kepada kebijaksanaan dan keperwiraan Raja T'Challa, yang menggantikan bapanya, T'Chaka, selepas lelaki itu terbunuh dalam insiden letupan seperti dapat disaksikan dalam Civil War.

T'Challa, yang dipertikaikan kemampuannya sebagai pemerintah, berdepan ujian besar pabila takhtanya dicabar oleh sepupu sendiri, Erik 'Killmonger' Stevens, pemuda yang ditinggalkan sendirian di Amerika Syarikat.


BLACK Panther menguasai pawagam seluruh dunia sejak lebih seminggu lalu.

FILEM ini dihasilkan dengan belanja kira-kira RM780 juta.

Black Panther nyata membawa dimensi baharu kepada francais filem terbitan Marvel, syarikat yang banyak mempopularkan watak manusia atau makhluk luar biasa di arena komik sejak berdekad lama.

Bukan sekadar sebuah hiburan yang menjanjikan pelbagai aksi tidak terjangkau oleh fikiran, selain kesan visual menakjubkan, seiring dengan perkembangan teknologi semasa, filem arahan sutradara kulit hitam berusia 31 tahun, Ryan Coogler, ini lebih bermakna apabila penceritaannya menekankan kepada bangsa Afrika yang dilihat dari sudut pandangan berbeza.

Bukan masyarakat kelas ketiga, sebaliknya penduduk Wakanda sangat maju dek kewujudan galian berharga di tempat mereka. Sebuah negara ciptaan yang pasti memukau dengan teknologi dimiliki, selain pemandangan sangat mengasyikkan, ia mengubah pandangan khalayak terhadap negara di benua berkenaan.

Kuat dengan suntikan dan mesej politik, filem yang dibikin menggunakan belanja kira-kira RM780 juta ini sememangnya memberikan 'harapan baharu' kepada bangsa kulit hitam dan etnik lain di dunia.

Golongan yang dilihat sebagai tertindas bukan selama-lamanya berada di bawah kekuasaan penjajah. Akan tiba masanya yang dijajah menukar sejarah dengan menjadi pemimpin pada masa depan. Inti pati itu jelas kelihatan dalam filem yang pada masa sama tidak melupakan elemen aksi ekstravaganza dan kesan khasnya yang melangkaui sempadan kebiasaan.

Menampilkan hampir sepenuhnya pelakon kulit hitam seperti Chadwick Boseman, Michael B Jordan, Lupita Nyong'o, Danai Gurira, Angella Bassett, Daniel Kaluuya, Letitia Wright, Forest Whitaker dan Winston Duke, hanya dua watak kulit putih utama diketengahkan menerusi naskhah ini iaitu Martin Freeman sebagai ejen CIA, Everett K Ross, dan Andy Serkis (Ulysses Klaue).

Black Panther, biarpun tanpa sokongan rakan adiwira Marvel lain, tetap mampu menarik minat penggemar filem memenuhi pawagam. Naskhah ini berupaya berdiri sendiri dengan kekuatan cerita dan persembahan barisan pelakonnya. Lebih utama, ia bagai membawa perubahan kepada industri perfileman Hollywood dari segi kandungan dan perjuangannya.

1888 dibaca
Berita Harian X