Rabu, 14 Februari 2018 | 6:28pm
KISAH hidup jaguh lumba basikal, Azizulhasni Awang, bakal diangkat ke filem. - Foto: Zunnur Al Shafiq
JAGUH lumba basikal, Azizulhasni Awang (dua kiri) bersama Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (dua dari kanan); Pengarah, Raja Mukhriz dan Pensyarah UUM, Mohd Idzwan Yacob (kanan) pada sidang media filem biopik Azizulhasni Awang di ibu kota. - Foto: Zunnur Al Shafiq

The Pocket Rocketman ke layar perak

KUALA LUMPUR: Suka duka perjalanan pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang, hingga namanya menjadi sebutan di arena sukan antarabangsa bakal diangkat ke layar perak pada pertengahan 2019.

Filem biografi yang dijangka dapat disempurnakan dalam tempoh setahun itu dihasilkan untuk mengangkat ikon negara, sekali gus dijadikan bahan rujukan dan menyuntik inspirasi kepada masyarakat.

Azizulhasni berkata, cerita yang ingin dikongsi nanti bukan hanya mengenai kejayaan, sebaliknya mengimbas permulaan sejarah cintanya terhadap sukan lumba basikal yang sarat emosi, air mata dan keringat.

"Banyak perkara mahu saya ceritakan yang diharap mampu memberi semangat kepada orang lain supaya jangan berhenti berusaha dan berdoa untuk menggapai impian sekali pun nampak mustahil.

"Kejayaan ini tidak datang begitu saja kerana saya juga pernah melalui permulaan yang sukar, malah ketika peringkat permulaan di Dungun (Terengganu) dulu, saya nyaris mati dilanggar lori tanah dalam perjalanan pulang daripada latihan.

"Apabila saya dimaklumkan mengenai idea pembikinan filem biografi ini, pastinya saya terharu, namun pada sama menyimpan harapan legasi ini mampu menyuntik inspirasi kepada semua tanpa mengira bidang yang diimpikan," katanya di sini, hari ini.

Juara dunia acara keirin itu hadir pada majlis pelancaran filem terbabit yang berlangsung di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Jalan Raja Muda Musa, di sini.

Nama pelumba basikal trek berusia 30 tahun itu menjadi sebutan hingga digelar The Pocket Rocketman kerana tubuhnya yang kecil berbanding pelumba lain, namun berupaya menjadi ahli sukan berbasikal Malaysia pertama memenangi pingat pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia dan Sukan Olimpik.

Hadir sama ialah pengarah filem terbabit, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Sementara itu, Raja Mukhriz berkata, praproduksi filem terbabit mengambil masa yang panjang bagi memastikan segala fakta penting dalam hidup jaguh sukan itu dapat dikumpulkan sebelum memilih yang terbaik untuk dipaparkan kepada khalayak.

"Sudah pasti pengisiannya 100 peratus bersandarkan fakta tanpa elemen fiksyen, tetapi kita akan pastikan segala perincian termasuk sinematografi mampu menghidupkan keseluruhan naskhah itu nanti.

"Bagaimanapun buat masa ini kami belum memilih pelakon yang bakal membawakan watak The Pocket Rocketman. Kita tengok kepada kesesuaian, sama ada menggunakan khidmat pelakon berpengalaman ataupun muka baharu," katanya.

Filem dengan bajet RM6 juta itu diterbitkan hasil kerjasama ThreeSixty Management, UniTalent Sdn Bhd dan UUM.

1031 dibaca
Berita Harian X