Isnin, 12 Februari 2018 | 5:41pm
KAUNSELOR Budaya Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia, AM Sabeghi, menunjukkan poster Festival Filem Iran yang akan berlangsung pada 7 hingga 17 Mac depan. - Foto: Aziah Azmee

Filem terbaik Iran temui penonton

KUALA LUMPUR: Sebanyak enam filem terbaik Iran yang juga penerima anugerah bakal dipertontonkan secara percuma kepada khalayak tempatan bersempena Festival Filem Iran (FFI) 2018 bermula pada 7 hingga 17 Mac depan.

Kaunselor Budaya Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia, AM Sabeghi, berkata matlamat penganjuran acara yang julung kali diadakan ini adalah untuk menjadikan seni filem mereka sebagai penghubung dan pengukuh hubungan dua hala.

"Kami berbangga membawa sebahagian daripada filem berkualiti untuk dikongsi dengan penonton tempatan, sekali gus memperkenalkan keindahan budaya, masyarakat dan negara kami dengan perkongsian cerita rakyat di layar perak.

"Besar harapan kami, festival ini mampu menyemarakkan lagi hubungan antara dua budaya membabitkan Malaysia dan Iran, khususnya dalam mempereratkan persaudaraan sesama orang Islam," katanya kepada BH online.

Kata lagi, walaupun julung kali diadakan, pihaknya yakin orang ramai juga enggan ketinggalan menyaksikan produksi hebat seperti Under the Smoky Roof yang membawa pulang trofi pada Festival Filem Fajr 2017 di Tehran.

Judul lain dengan pelbagai genre termasuk Sweet Taste of Imagination, The Queen, Ceasefire 2, Where are My Shoes dan Crazy Castle pasti tidak mengecewakan penonton apabila menyajikan kisah cinta, kekeluargaan dan masyarakat.

Menurut AM Sabeghi, tayangan percuma FFI di Golden Screen Cinema (GSC) membabitkan tiga bandar raya bermula di Kuala Lumpur pada 7 hingga 11 Mac (Pavilion dan Mid Valley), Gurney Plaza Pulau Pinang (12 - 14 Mac) dan Paradigm Mall Johor Bahru (15-17 Mac).

Sementara itu, acara yang dikelolakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), GSC, Farabi Film Foundation dan Hoze Honari Organization turut mengundang penerbit, pengarah serta pelakon tempatan menyertai Master Class pada 7 dan 14 Mac depan.

Katanya, ia menjurus kepada perkongsian idea dan pengalaman barisan pengarah Iran sepanjang penyertaan mereka dalam industri perfileman, selain cabaran untuk membawa naskhah mereka hingga ke luar negara.

"Kami harap penggiat filem Malaysia dapat bersama-sama menjadikan Master Class ini sebagai medan untuk menjalinkan kerjasama. Mungkin dari situ kedua-dua pihak boleh memulakan usaha sama atau berkongsi idea," katanya lagi.

ends/...

596 dibaca
Berita Harian X