Rabu, 7 Februari 2018 | 2:49pm
FILEM Padmaavat diharamkan tayangannya di Malaysia kerana menyinggung sensitiviti agama Islam.

Padmaavat: Syarikat pengedar harap LPF lebih terbuka

KUALA LUMPUR: Syarikat pengedar Padmaavat, Antenna Entertainments, masih mengharapkan keterbukaan Lembaga Penapisan Filem (LPF) memandangkan filem berkenaan tidak berdepan masalah untuk ditayangkan di benua Arab.

Pengarah Urusannya, Liza Hussein, berkata pihaknya menghormati pandangan agensi terbabit, namun pada masa sama yakin filem epik yang menyentuh isu percintaan antara raja beragama Islam dan permaisuri Hindu itu tidak menyongsangkan fikiran penonton.

Katanya, keseluruhan penerbitan berkenaan lebih memberi tumpuan terhadap aspek percintaan, sinematografi dan keindahan latar masa yang menjadikan ia sebagai naskhah indah untuk dikongsi dengan khalayak.

Menurutnya, mereka yang mengikuti filem arahan Sanjay Leela Bhansali pasti tahu identiti pengarah ini.

"Saya sendiri sudah menonton Padmaavat sebelum membelinya sekitar Oktober tahun lalu. Bagi saya, filem ini dikupas secara berseni, malah secara peribadi saya tidak rasa ia mampu memesongkan pemikiran orang ramai, khususnya golongan muda.

"Latar tempatnya juga jauh di India, sekali gus membuatkan kami tak sangka ia dikatakan membawa mesej tidak baik, sedangkan banyak pengajaran lain yang boleh diperoleh daripada filem itu.

"Kalau melihat sudut sentimen agama seperti didakwa, kami tertanya-tanya mengapa di Bahrain, Arab Saudi dan Dubai (Emiriah Arab Bersatu) memberi pelepasan untuk tayangan filem ini," katanya kepada BH online.

Padmaavat menjadi filem kontroversi apabila mencetuskan rusuhan di India, baru-baru ini, disebabkan isu percintaan berbeza kepercayaan hingga didakwa menyinggung sensitiviti agama Islam.

Di Malaysia, LPF mengharamkannya dengan menegaskan tindakan berkenaan dibuat bagi menjaga sensitiviti agama di negara ini, bukan kerana rusuhan yang tercetus di negara terbabit.

Agensi itu memaklumkan, mereka melihat dari semua sudut termasuk jalan cerita, watak dan adegan, malah isu utama yang menjadi fokus pengharaman adalah keseluruhan jalan ceritanya yang merendahkan martabat agama Islam.

Sementara itu, Liza berkata, sepanjang 12 tahun beroperasi, Antenna sentiasa memastikan produk dibawa masuk bukan hanya filem terbaik, malah tidak mencetuskan sebarang isu.

"Sepanjang tempoh berkenaan, kami sudah mengedarkan pelbagai genre filem termasuk dari Indonesia, India dan naskhah besar Amerika Syarikat.

"Kami cuma mahu berkongsi naskhah yang indah dengan khalayak. Kami tidak menyangka tercetusnya isu rusuhan di dua tempat di India, tetapi di negeri lain nampaknya ia tetap ditayangkan.

"Berikutan keyakinan kami terhadap filem itu juga, Antenna membelanjakan kira-kira RM117,000 untuk pemasarannya saja. Saat ini, kami akui buntu, namun berharap masih ada jalan penyelesaian," katanya mengenai filem yang dibeli dalam bahasa Telugu, Hindi dan Tamil itu.

ends/...

869 dibaca
Berita Harian X