Jumaat, 2 Februari 2018 | 6:56pm
MOHD Zamberi Abdul Aziz menjawab soalan ketika temubual bersama wartawan BH di Pejabat Lembaga Penapisan Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri, Komplek D Pusat Pentadbir Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Larangan tayangan Padmaavat kekal

Oleh Muhamad Fairoz Azizan

muhamadfairoz@bh.com.my

PUTRAJAYA: Filem kontroversi, Padmaavat yang mencetuskan rusuhan di India, baru-baru ini diharamkan tayangannya di negara ini kerana menyinggung sensitiviti agama Islam.

Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata, pengharaman itu dibuat bagi menjaga sensitiviti agama di negara ini, bukan kerana rusuhan yang tercetus di negara terbabit.

"Kita melihat dari semua sudut filem ini termasuk jalan cerita, watak dan adegan. Isu utama yang menjadi fokus pengharaman adalah keseluruhan jalan ceritanya yang merendahkan martabat agama Islam.

"Filem itu memaparkan watak Sultan Alauddin yang digambarkan sebagai pemimpin beragama Islam yang mempunyai moral negatif. Gambaran karakter itu menimbulkan tanggapan negatif kepada penonton dan pasti mencetuskan bantahan ramai jika tayangannya diluluskan," katanya kepada BH.

Mohd Zamberi berkata, keputusan untuk mengharamkan tayangan filem itu dibuat selepas dua kali ahli jawatankuasa LPF menonton dan menilainya.

LPF pada 26 Januari lalu mengharamkan tayangan filem itu, tetapi dibantah pengedar filem terbabit yang membawa perkara itu kepada Jawatankuasa Rayuan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan sebulat suara mengekalkan keputusan yang dibuat LPF untuk mengharamkan filem itu di negara ini. Jawatankuasa ini adalah sebuah badan lain yang diwujudkan kementerian dan bukan entiti di bawah LPF.

"Kita tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa meneliti kesannya kepada penonton. Setiap karya yang dihantar sama ada filem, drama, iklan atau dokumentari akan melalui tapisan teliti sebelum dibenarkan tayangan.

"Ini untuk mengelak daripada timbul perkara berbangkit kelak. Babak seperti bercium, seks atau perkataan yang membangkitkan sentimen perkauman boleh dipotong, tetapi keseluruhan filem ini menggambarkan kerendahan martabat agama Islam," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak tujuh filem asing daripada lebih 1,000 produksi yang dihantar ke LPF diharamkan tayangan di negara ini kerana pelbagai faktor termasuk isu perkauman.

"Ia membabitkan produksi untuk festival dan filem pendek. Tidak ada filem cereka tempatan yang diharamkan tayangan kerana ia melalui proses tapisan sebelum ditetapkan klasifikasi sama ada untuk tontonan umum, P13 atau 18," katanya.

Filem arahan Sanjay Leela Bhansali yang dibintangi Deepika Padukone, Ranveer Singh dan Shahid Kapoor itu menimbulkan kekecohan di India apabila memaparkan watak Padmaavat membakar diri kerana enggan berkahwin dengan Sultan Alauddin yang dianggap menghina penganut Hindu.

2049 dibaca
Berita Harian X