Khamis, 4 Januari 2018 | 6:07pm
PEKIN Ibrahim. - Foto Aziah Azmee

Giliran Pekin buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim, nekad membuat laporan polis selepas rakaman filemnya, KL Wangan, yang masih ditayangkan di pawagam disebarkan di laman sosial, malam tadi.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 36, mengakui kecewa selepas karya keduanya yang ditayangkan sejak 21 Disember lalu turut menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, filem aksi arahannya yang menelan kos RM5 juta dan sudah berada di pawagam selama dua minggu menjadi mangsa terbaru Facebook Live atau FB Live.

"Saya tidak mampu untuk berkata apa-apa apabila masih lagi berlaku kejadian tidak bermoral seperti ini. Tolong hentikan perbuatan FB Live ini dan sokong filem tempatan kita.

"Saya hanya mampu bersabar dan serahkan semua kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya dalam entri terkini di Instagramnya.

Menerusi status dan gambar yang dikongsi berserta satu salinan laporan polis, Pekin dilihat ditemani seorang rakan yang juga pelakon filem berkenaan, Kodi Rasheed.

Daripada laporan berkenaan, difahamkan kejadian lintas langsung FB itu dilakukan empat individu yang merakam dan menyebarkan babak berdurasi kira-kira sejam.

KL Wangan turut membariskan pelakon seperti Faizal Hussein, Emily Lim, Jasmine Suraya, Datuk Yusof Haslam, Kamarul Yusoff dan bintang Indonesia serta Jepun.

Terdahulu, beberapa filem lain pernah menjadi mangsa individu kurang peka dengan isu sama seperti Pinjamkan Hatiku, Kau Yang Satu dan Abang Long Fadil 2.

7772 dibaca
Berita Harian X