Selasa, 19 Disember 2017 | 10:16pm
PENGARAH teater muzikal Ola Bola, Tiara Jacquelina.
BARISAN pelakon teater muzikal Ola Bola ketika diperkenalkan kepada media pada Oktober lalu. - Foto NSTP

Istana Budaya bakal jadi 'stadium bola'

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit Ola Bola The Musical, Puan Seri Tiara Jacquelina, merancang untuk mengubah Panggung Sari, Istana Budaya, menjadi seperti sebuah stadium sempena pementasan teater berkenaan pada 8 Februari hingga 11 Mac depan.

Menurut Tiara, usaha itu dibuat bagi menzahirkan suasana berbeza kepada penonton, sekali gus membuatkan mereka seperti menyaksikan perlawanan bola sepak yang sebenar.

"Saya mengharapkan, sebaik saja penonton masuk ke dalam Istana Budaya apabila pementasan bermula nanti, ia bukan lagi pentas teater, tetapi dikelilingi LED yang akan menampakkan suasana seperti dalam stadium sekitar 1976.

"Situasi akan menjadi lebih riuh rendah dan semangatnya sama seperti penonton datang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. Ia lengkap dengan pukulan gendang dan gaya ombak Mexico.

"Penonton juga boleh hadir dengan memakai jersi dan membawa kain rentang. Usah risau, pihak Istana Budaya sudah sedia maklum mengenai perkara itu," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sesi latihan teater berkenaan di sini, sebentar tadi.

Mengulas perkembangan persiapan muzikal berkenaan setakat ini, Tiara berkata, mereka masih pada peringkat penambahbaikan untuk memantapkan lagi kandungannya.

"Sesi latihan hari ini akan memberi ruang buat pasukan produksi dan pelakon yang terbabit mencari kekurangan serta sama-sama berusaha untuk memperbaikinya," katanya.

Teater yang diangkat daripada filem box-office arahan Chiu Keng Guan itu akan diterajui oleh Brian Chan sebagai Tauke, Luqman Hafidz (Ali), Abimanyu Masilamani (Muthu), Iedil Putra (Rahman), Kai Chalmers (Eric), Lim Jian Wei (Ah Chai), Melissa Ong (Mei Ling) dan Altimet (Sarjan Ahmad).

Bagi peminat yang ingin menyaksikan pementasan teater berkenaan, tiket boleh didapati dengan melayari laman web www.olabolamusical.com.

854 dibaca
Berita Harian X