Isnin, 18 Disember 2017 | 7:51am
FILEM 'Star Wars: The Last Jedi' merekodkan jualan tiket global sebanyak AS$450 juta (RM1.83 bilion). - Foto EPA

Star Wars raih RM1.83 bilion

LOS ANGELES: Filem 'Star Wars: The Last Jedi' merekodkan jualan tiket global sebanyak AS$450 juta (RM1.83 bilion), pada tayangan pembukaan hujung minggu lalu, dan ia mengesahkan bahawa filem pengembaraan angkasa itu kekal sebagai filem pecah panggung.

Filem kelapan dalam siri Star Wars itu dicipta George Lucas pada 1977, ia berjaya mengutip jualan sebanyak AS$220 juta (RM897.49 juta) di Amerika Syarikat dan Kanada, berdasarkan jangkaan 'box office' yang diterbitkan comScore semalam.

Jumlah jualan itu berada pada kedudukan kedua selepas jualan AS$248 juta (RM1.01 bilion) untuk filem 'Star Wars: The Force Awakens' yang mula ditayangkan dua tahun lalu.

Tayangan permulaan itu menunjukkan kejayaan besar baharu Walt Disney Co yang membeli penerbit Star Wars, Lucasfilm pada 2012 dan memperbaharui jalan cerita filem di angkasa terbabit.

"Tiada banyak jenama yang boleh mengekalkan minat dan kekal relevan pada tahap ini. Ini mengukuhkan lagi semua filem Star Wars yang akan datang," kata penganalisis media kanan comScore, Paul Dergarabedian.

Sekurang-kurangnya lima lagi filem Star Wars sedang disiapkan di Disney termasuk satu mengenai watak Han Solo ketika zaman muda, yang akan ditayangkan pada Mei depan dan diikuti 'Episode IX' pada Disember 2019. - Reuters

1341 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »