Jumaat, 8 Disember 2017 | 8:44am
Barisan pelakon dan crew produksi filem Jibam bergambar bersama semasa tayangan perdana filem itu. - Foto Supian Ahmad

Filem Jibam dapat sambutan di Sabah

KOTA KINABALU: Tayangan perdana filem Jibam yang berlangsung, di sini, malam tadi mendapat maklum balas positif daripada peminat filem di negeri ini.

Berlangsung di Golden Screen Cinema (GSC), One Borneo Hypermall, tayangan perdana berkenaan dihadiri penyampai radio tempatan,  blogger dan wartawan.

Wartawan hiburan akhbar tempatan di sini, Ricardo Unto, berkata filem Jibam adalah filem wajib tonton oleh semua penggemar filem di negara ini.

Ricardo berkata filem berkenaan mempunyai banyak nilai positif yang boleh dijadikan teladan sekali gus dipraktikkan dalam kehidupan bermasyarakat.

"Melalui filem ini, kita dapat melihat ketabahan ibu membesarkan tiga anak lelakinya termasuk anak istimewa iaitu watak Jibam yang dibawa oleh adik Mohd Ariff Abdullah selepas kematian suami.

"Filem ini juga mendidik kita langkah terbaik mendekati golongan istimewa terutamanya mereka yang memiliki ahli keluarga autisme," katanya ketika ditemui selepas menonton filem berkenaan.

Yang turut hadir sempena tayangan perdana itu ialah pelakon filem Jibam, Syafie Naswip dan Farah Ahmad.

Mengambil masa dua tahun bagi proses keseluruhan produksi, filem terbabit turut dibintangi beberapa pelakon hebat lain termasuklah Mia Ahmad, Esma Daniel, Bohari Ibrahim dan Kazar Saisi.

Filem yang diterbitkan oleh Spektra Selasih Sdn Bhd itu adalah adaptasi novel Jibam yang ditulis oleh Ibrahim Anon atau lebih dikenali sebagai Ujang.

Jibam mula menemui penonton di semua pawagam di seluruh negara bermula semalam.

Dalam pada itu, Ricardo berkata penggambaran keseluruhan filem terbabit berlatarbelakangkan suasana kampung membuat penonton dibawa kembali ke alam kanak-kanak yang membesar di kampung.

Sementara itu, Penerbit Penyelaras Spektra Selasih Sdn Bhd, Mia Aynor berkata pemilihan Sabah sebagai antara lokasi tayangan perdana bertujuan mewujudkan kelainan kerana kebanyakan acara seumpama itu sering dilaksanakan di Kuala Lumpur atau lokasi berhampiran sahaja.

"Walaupun filem ini tidak menonjolkan elemen berkaitan negeri ini tetapi kedatangan kami di sini dapat mendekati peminat dan penonton di sini yang juga banyak memberi sokongan kepada industri filem tanah air.

"Saya berharap penggiat seni, kaki wayang dan masyarakat di sini dapat menerima dan datang menonton filem Jibam di pawagam berhampiran," katanya

1127 dibaca
Berita Harian X