Jumaat, 15 September 2017 | 7:23pm

Penerbit kecewa filem disiar di laman sosial

KUALA LUMPUR: Penerbit Kau Yang Satu kecewa kegiatan 'rakam curi' dan tayangan secara langsung filem dibintangi Aaron Aziz dan Izara Aishah itu masih berleluasa di laman sosial.

Penerbit Eksekutif Global Station, Zetty Adila Ramly berkata, biarpun laporan sudah dibuat, masih ada pihak menayangkan filem itu melalui media sosial terutama selepas Kau Yang Satu disiarkan di saluran Astro First.

"Sudah banyak kali kami buat laporan kepada pihak berkuasa. Ketika mula ditayangkan di pawagam, ramai yang berani buat lintas langsung filem ini. Apabila sudah disiarkan Astro First, mutu videonya lebih jelas hingga ada pihak merakam curi.

"Bayangkan, kalau ditaip judul filem Kau Yang Satu di Facebook, misalnya, akan keluar banyak pilihan untuk peminat menonton. Nampaknya, mereka berani buat kesalahan ini secara terangan-terangan.

"Malah ada yang mendakwa cakera padat digital (DVD) filem ini sudah dijual secara cetak rompak," katanya.

Adila mendakwa, ada individu yang sudah menutup akaun laman sosial selepas aduan dibuat, kembali aktif disebabkan tiada tindakan keras dikenakan terhadap mereka.

Sehubungan itu, Adila berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu menangani isu 'rakam curi' dan tayangan secara langsung filem tempatan di laman sosial.

"Tolong kami penerbit dan pengkarya filem. Jika terus-terusan macam ini, orang luar takkan berhenti berbuat kesalahan sama," katanya.

Namun, Adila berkata, pihaknya tidak serik untuk terus menerbitkan filem.

"Ini bukan penghalang untuk kami terus berkarya. Cuma kami kecewa dengan senario ini. Kita kena didik masyarakat jangan menganggap berkongsi hak cipta orang secara terbuka tak salah. Ini akhirnya akan menghancurkan industri.

"Melihat jumlah tontonan filem ini di laman sosial membuktikan peminat mahu menonton karya tempatan. Cuma mereka melihat di medium yang salah," katanya.

Bulan lalu, Adila ditemani Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro Shaw, Datuk Khairul Anwar Salleh membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, di sini, berhubung tindakan 'rakam curi' dan tayangan secara langsung filem Kau Yang Satu di laman sosial.

Filem adaptasi novel yang turut dibintangi Hisyam Hamid dan Soo Wincci itu ditayangkan di pawagam pada 27 Julai lalu.

1347 dibaca
Berita Harian X