Ahad, 20 Ogos 2017 | 3:20pm
POSTER Abang Long Fadil 2 bakal ditayangkan di 120 pawagam di seluruh negara mulai Khamis depan.

Abang Long Fadil 2 ditayang di 120 pawagam

KUALA LUMPUR: Filem sekuel lakonan Zizan Razak, Abang Long Fadil 2 (ALF 2) bakal ditayangkan di 120 pawagam di seluruh negara mulai Khamis depan.

Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam berkata, pemilik rangkaian pawagam atau pemamir memberi keyakinan tinggi kepada ALF 2 hingga menawarkan tempat yang banyak untuk tayangan filem berkenaan.

"Selepas sesi pratonton awal, filem ALF 2 mendapat maklum balas positif daripada pihak pemamir, Skim Wajib Tayang dan kalangan peneraju industri.

"Pemilik rangkaian pawagam berkeyakinan tinggi biarpun kutipan filem tempatan hingga bulan lalu hanya mencapai RM13 juta.


ZIZAN Razak.- Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Situasi itu cukup berbeza jika dibandingkan dengan filem terbitan Skop Productions seperti Munafik yang meraih RM17 juta apabila ditayangkan dua tahun lalu," katanya kepada BH Online.

Difahamkan, jumlah 120 pawagam adalah antara tertinggi pernah diberi kepada filem tempatan, apatah lagi ia ditawarkan sendiri pihak pemamir kepada syarikat produksi.

Tidak hairanlah jika filem kerjasama Skop Productions dan Astro Shaw Sdn Bhd dengan kos RM3.5 juta itu diramal menjadi naskhah pecah panggung tahun ini.


DATUK Yusof Haslam. - Foto Surianie Mohd Hanif

Bagaimanapun, Yusof enggan meletak harapan yang tinggi terhadap ALF 2.

Namun, katanya, aspek pembikinan filem terbabit lebih kemas dan tersusun.

"ALF 2 mudah difahami dan matang berbanding Abang Long Fadil yang diterbitkan pada 2014.

"Ia adalah filem yang menghiburkan dan sesuai ditonton semua lapisan masyarakat," katanya.

Selain Zizan, pelakon lain yang membintangi ALF 2 adalah Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib, Achey, Datuk AC Mizal, Wak Doyok, A Galak dan Tania Hudson.

1888 dibaca
Berita Harian X