Selasa, 8 Ogos 2017 | 5:53pm
ANTARA babak dalam filem The Battleship Island.
ANTARA babak dalam filem The Battleship Island.
ANTARA babak dalam filem The Battleship Island.
ANTARA babak dalam filem The Battleship Island.

Berdepan ajal di Pulau Neraka

ELEMEN cinta, darah, keringat dan air mata melatari filem The Battleship Island yang mengambil inti kisah benar membabitkan buruh paksa Korea ketika Perang Dunia Kedua.

Penjajahan Jepun di Asia turut mengheret penderitaan terhadap sekumpulan pemuzik yang diketuai Lee, bersama anak perempuannya yang masih kecil, So Hee, apabila ditipu hingga diheret bekerja di atas kapal dinamakan Battleship Island.

Melihat kesengsaraan pekerja arang batu atau lebih tepat dikatakan sebagai buruh paksa, dengan setiap hari diri dipukul, manakala wanita Korea pula dijadikan pelacur, maka tidak hairan ia dipanggil sebagai Pulau Neraka.

Bukan hanya plot cerita, paling mengesankan tentu saja keadaan kapal yang menjadi sebuah perkampungan besar, lengkap dengan pusat penempatan, rumah pelacuran dan kilang arang batu.

Permulaan babak memberi tumpuan terhadap kumpulan pemuzik terbabit yang kononnya dijanjikan kehidupan senang di Hashima, namun hakikatnya mereka diperdaya untuk bekerja di lombong arang batu di bawah laut.

Syurga yang diharap dapat memberi kehidupan dan masa depan lebih baik buat anak perempuannya, kini umpama kubur terbuka buat mereka berdua serta enam pemuzik lain.

Hakikatnya, bukan mereka saja, malah hampir 400 lagi warga Korea lain dikerah bekerja dengan tentera Jepun di dalam kapal itu, termasuk wanita serta kanak-kanak.

Lee sendiri dipisahkan daripada anak kecilnya, namun kelebihan mampu bermain muzik meringankan penderitaan mereka, terutama So Hee yang hampir dijadikan pelacur.

Selain kasih sayang bapa, The Battleship Island turut menonjolkan semangat patriotisme menerusi watak Park Moo Young, lakonan Song Joong Ki selaku perisik tentera.

Kehadirannya di pulau berkenaan, dengan misi mahu menyelamatkan seorang pejuang kemerdekaan yang juga ketua buruh, tetapi akhirnya identiti lelaki berkenaan terbongkar sebagai pembelot bangsa.

Bersama beberapa warga Korea lain, mereka mengatur perancangan untuk lari dari tempat terbabit apabila mendapat maklumat semua buruh dari negara berkenaan bakal dibakar beramai-ramai.

Bagi kaki wayang, sudah pasti setiap babak mendatangkan perasaan cemas apabila boleh dikatakan nyawa setiap buruh bagai di hujung tanduk kerana turut berdepan ancaman di dalam lombong.

Latar tempat juga memberi kesan hingga membuatkan penonton terbayang-bayang penderitaan mangsa sebenar hidup dalam keadaan serba daif, terseksa dan menderita.

Gambaran mengenai kapal ke pulau terbabit dengan hanya disediakan tandas tong terbuka yang menjijikkan, sudah cukup memberi gambaran kesukaran yang ditempuhi mereka.

Filem bajet besar yang meruntun hati ini bukan sekadar menjadi peringatan kepada kita supaya terus mensyukuri nikmat kebebasan, malah menyuntik semangat untuk terus bersatu padu.

Info:

Judul: The Battleship Island

Pengarah: Ryu Seung Wan

Pelakon: Wang Jung Min, So Ji Sub, Song Joong Ki, Lee Jung Hyun, Kim Su An

Genre: Aksi / Sejarah

Tayangan: Mulai 17 Ogos 2017

3205 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »