Rabu, 2 Ogos 2017 | 4:26pm

The Osiris Child menghiburkan

FILEM fiksyen sains terbitan Australia, The Osiris Child: Science Fiction Volume One, mampu menghiburkan penonton terutama yang menggemari naskhah dalam genre sebegitu.

Teknik imejan janaan komputer (CGI) dan kesan khas ditampilkan dalam karya arahan Shane Abbess ini boleh dipuji kerana berupaya membawa khalayak berada dalam dimensi lain.

Kelebihan dari segi visual nyata membantu dari segi persembahannya walaupun disedari kos digunakan untuk menghasilkan filem terbabit bukan sebesar peruntukan disediakan bagi naskhah terbitan Hollywood.


DATUK Seri Najib Razak (kanan) bersama Pengerusi JKPSB, Datuk Seri Zainal Abidin Osman (dua dari kanan) ketika melawat unit contoh Pangsapuri Kos Sederhana Casa Anggun, Sungai Nibong,Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Secara dasarnya, ia boleh dikategorikan sebagai filem fiksyen sains gred B. Usah dibandingkan filem ini dengan judul gergasi dari Amerika Syarikat seperti Star Wars mahupun Star Trek, namun ia tetap memberikan kepuasan kepada mereka yang sukakan cerita fantasi masa depan seperti itu.

Sayangnya, The Osiris Child tidak disokong dengan jalan cerita yang kukuh. Malang sekali apabila persembahan yang sudah tampak hebat menggunakan skrip kurang bermaya, apatah lagi dialog yang dikira agak lemah.

Umpama bercerita dengan kerap kali memuatkan teknik imbasan kembali serta mengikut pecahan bab, ia menjadikan plot filem ini sedikit bercelaru dan agak sukar difahami. Faktor itu pula sudah semestinya membuatkan sesetengah khalayak berasa bosan saat mengikut cerita cuba disampaikan.


PELANCONG bergambar di Skybridge - Foto Zunnur Al Shafiq

Ia mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan, Indi, yang terpaksa berpisah dengan bapanya, Leftenan Kane Sommerville, yang ditugaskan menjaga infrastruktur Osiris. Namun, Kane menyedari ada sesuatu tidak kena di permukaan Osiris sehingga pemerintah tertinggi pusat itu memutuskan untuk memusnahkan semua hidupan di situ.

Bagaimanapun, semua anggota pusat pemerintahan Osiris dihalang daripada turun ke permukaan kerana 'virus' didakwa mula merebak. Namun, demi menyelamatkan anaknya, Kane melanggar arahan dan meloloskan diri daripada pusat kawalan.

Akibat dikejar tentera pemerintah, pesawat Kane terbabas lalu diselamatkan Sy Lombrok. Sy ialah tahanan penjara Osiris yang melarikan diri selepas berlaku kacau bilau di pusat terbabit.

Menyedari ada sesuatu yang aneh berlaku di dalam penjara dan munculnya makhluk aneh, Sy melarikan diri sehinggalah bertemu dengan Kane yang terhempas di dasar sebuah tasik.

Sy bertindak membantu Kane ke bandar Osiris bagi menyelamatkan anaknya. Sebaliknya, kekacauan menjadikan situasi di bandar huru-hara dengan kehadiran banyak makhluk aneh yang menyerang manusia.

Biarpun berjaya menyelamatkan diri daripada situasi tegang itu, sesuatu di luar jangkaan berlaku sehingga memisahkan Kane daripada Indi.

Info:

Judul: The Osiris Child: Science Fiction Volume One

Pengarah: Shane Abbess

Pelakon: Kellan Lutz, Daniel MacPherson, Teagan Croft, Isabel Lucas dan Luke Ford

Genre: Fiksyen Sains / Aksi / Cemas

Durasi: 1 jam 36 minit

Tarikh tayangan: Mulai 3 Ogos 2017

Berita Harian X