Isnin, 31 Julai 2017 | 9:26am
PELAKON, penyanyi dan sutradara, Syamsul Yusof. - Foto Aswadi Alias

Syamsul Yusof dinobat Pengarah Terbaik FFAP

KUALA LUMPUR: Syamsul Yusof diangkat sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 menerusi filem Munafik di Phnom Penh, Kemboja, malam tadi.

"Nikmat itu dari Allah. Hakikatnya apa yang ada hanyalah pinjaman. Secebis bakat dan ilham dari Tuhan pada kita sekecil-kecil hamba-Nya," kata pelakon, penyanyi dan sutradara itu menerusi akaun Instagram rasminya.

Kemenangan itu menjadikan Syamsul, 34, sutradara kedua dari Malaysia menjulang gelaran Pengarah Terbaik selepas Allahyarham Yasmin Ahmad mencipta sejarah pada festival sama, tujuh tahun lalu.

Yasmin diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik untuk filem Mualaf yang juga filem terakhirnya pada FFAP edisi ke-54 di Taipei pada Disember 2010.

Delegasi negara tahun ini turut menjulang trofi Suntingan Terbaik menerusi kemenangan filem Ola Bola terbitan Astro Shaw.

FFAP dianjurkan oleh Federation of Motion Picture In Asia Pacific (FPA).

Malaysia pernah meraih anugerah utama lakonan termasuk menerusi Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada FFAP keempat (1957) selain Maya Karin pada FFAP ke-49 (2004) serta Datin Seri Tiara Jacquelina pada FFAP ke-50 (2005).

Munafik yang mencipta sejarah dalam industri perfileman tempatan dengan kutipan keseluruhan RM19 juta, turut menjadi Filem Terbaik Nasional di Festival Filem Malaysia (FFM) tahun lalu manakala Syamsul meraih Pengarah Terbaik.

Syamsul juga pernah mencipta sejarah sepanjang penganjuran FFM sebagai sutradara termuda yang memenangi trofi Pengarah Terbaik menerusi Evolusi KL Drift 2 pada usia 26 tahun.

3621 dibaca
Berita Harian X