Jumaat, 28 Julai 2017 | 4:09pm
PELAKON, Izara Aishah bersama pasangannya, Adib Khalid pada sidang media Filem Kau Yang Satu di GSC Pavillion. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Izara 'dirasuk' Salina

KUALA LUMPUR: Aktres Izara Aishah, mengaku watak Salina yang digalasnya dalam filem Kau Yang Satu, benar-benar mencabar kemampuannya sebagai pelakon.

Bukan sekadar perlu melakonkan banyak babak beremosi dan menitiskan air mata, malah Izara, 24, turut berasakan dirinya seperti dirasuk oleh watak berkenaan.

"Salina sebuah watak yang berat dan saya perlu melakonkan banyak babak menangis dalam filem ini.

"Saya juga memilih untuk tidak membaca novelnya kerana saya tidak mahu terlalu terikat dengan watak yang digambarkan di dalamnya. Saya bimbang ia akan membuatkan saya jadi keliru.

"Memanglah bagi setiap watak yang dipegang, diri ini akan menjadi orang lain. Namun pada peringkat awal, ada juga sesekali karakter diri sendiri terkeluar ketika beraksi, bukannya Salina," katanya kepada BH Online.

Filem arahan Osman Ali terbabit ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai semalam. Ia juga menjadi gandingan sulung Izara bersama pelakon Aaron Aziz di layar perak.

"Saya bernasib baik kerana Abang Osman dapat mengawal lakonan saya. Lama kelamaan, saya bagaikan 'dirasuk' dengan karakter Salina," kata Izara yang turut berterima kasih kepada Ellie Suriaty kerana memberikan tunjuk ajar menerusi kelas lakonan selama tiga minggu, sebelum penggambaran berlangsung.

Izara turut memberitahu, karakter berkenaan sangat berbeza dengan dirinya.

"Saya tidak bercakap lembut dan sopan seperti dirinya. Nak gelak dan berjalan macam Salina pun memang sukar awalnya. Dia wanita desa yang penuh sopan-santun. Walaupun saya juga pada realitinya orang kampung, tetapi saya agak kasar," ujarnya.

Bergandingan dengan Aaron, 41, Izara menyifatkan pelakon yang juga bapa kepada tiga anak itu sangat menyenangkan.

"Dia tidak lokek untuk membantu saya dari segi lakonan, sehingga kami jadi setara dalam filem ini. Cerita ini pun mengenai lelaki yang berkahwin dengan wanita muda. Jadi, tidak sukar untuk saya memaparkan situasi itu," katanya yang bakal menamatkan zaman bujang bersama Adib Khalid, November depan.

2899 dibaca
Berita Harian X