Selasa, 25 Julai 2017 | 4:15pm
AZMA (dua dari kiri) bersama pelakon dan kru produksi filem Blok 404. - Foto Rohanis Shukri

Azma Aizal tumpu karya berkualiti

KUALA LUMPUR: Pengarah, Azma Aizal Yusoof, mengambil pendekatan bersikap lebih memilih dalam menerima tawaran pengarahan drama atau filem.

Pernah berehat selama setahun setengah daripada bidang seni, pengarah dan pelakon yang lebih mesra disapa Isma itu enggan terbabit dengan produksi yang bekerja secara tergesa-gesa sehingga membuatkan dirinya dan krew lain tertekan.

"Selepas membuat keputusan untuk kembali mengarah, saya mengambil langkah tidak mahu tertekan di lokasi kerana ia boleh membuatkan saya mudah berasa marah.

"Oleh itu, saya akan memaklumkan awal-awal kepada penerbit, jika masalah yang timbul di lokasi boleh membuatkan saya hilang sabar, saya akan tarik diri. Saya juga cuba mengelak bekerja dengan produksi yang mengejar duit, bukannya kualiti.

"Alhamdulillah, setakat ini saya sudah terbabit dengan dua projek, iaitu iklan tudung Neelofa dan filem Blok 404. Syukurlah kedua-dua penerbit memahami cara kerja yang saya inginkan, " katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Azma, 35, pernah meluahkan hasratnya untuk mengundurkan diri daripada industri hiburan yang dianggap sebagai tidak sihat.

Sementara itu, Isma turut memberitahu, sejak aktif kembali di bidang pengarahan, beliau tidak lagi seperti dulu, yang sentiasa memastikan karya dihasilkan sempurna.

Katanya, kes mengasari pelakon Ika Nabella, November 2015, membuka matanya untuk menjadi lebih fleksibel dalam memahami kemampuan setiap bakat yang terbabit dalam karya arahannya.

"Kalau dulu, tidak kiralah sama ada pelakon baharu atau lama, saya akan pastikan mereka menjayakan watak masing-masing seperti saya inginkan.

"Kali ini tidak lagi. Saya sebaliknya cuba memahami kemampuan setiap pelakon. Sebagai contoh, sekiranya pelakon baharu itu kurang berbakat, saya tidak boleh meletakkan harapan tinggi pada hasil lakonannya. Tetapi, saya akan cuba mengasah lakonan mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Ditanya mengenai projek terkini dirinya, kata Isma, beliau ketika ini berehat di Gopeng, Perak, mengikuti rakannya menguruskan kem aktiviti lasak, Radak Adventure.

"Saya sedar, sejak berehat di Langkawi, fikiran saya cukup tenang selain berasa bebas daripada anasir negatif. Jadi, saya terapkan untuk bercuti di pelbagai lokasi setiap kali selesai kerja penggambaran.

"Pada masa sama, saya mahu mendapatkan inspirasi di setiap lokasi yang saya terokai.

"Sebagai contoh, selepas selesai penggambaran Blok 404, saya membantu rakan yang menguruskan kem Radak Adventure. Selain aktiviti lasak, di situ juga ada kelas kecil mengajar bahasa Inggeris dan beberapa subjek lain. Mungkin saya akan bantu dari sudut itu, selain menganjurkan kelas lakonan," katanya.

561 dibaca
Berita Harian X