Isnin, 24 Julai 2017 | 4:24pm

Baby Driver hibur penonton dengan aksi, runut bunyi menarik

BERADA dalam perut pawagam sepanjang tempoh 113 minit mengikuti filem Baby Driver sangat mengujakan hingga tidak terasa masa berlalu.

Gabungan aksi kejar-mengejar, taktik jenayah rompakan terancang, selain kisah bersulam elemen cinta yang berlatarkan lagu pelbagai era menyuntik warna tersendiri buat naskhah ini.

Lari daripada kebiasaan, filem sentuhan Edgar Wright berkenaan mempunyai tarikan untuk pandangan mata terus melekat ke paparan di skrin.

Biarpun meneliti plot, cerita yang diilhamkan sutradara itu kira-kira 22 tahun lalu seakan hampir sama seperti yang pernah disogokkan produser lain sebelum ini, namun pendekatan dilakukan beliau membuatkannya tampil berbeza.

Masalah telinga berdesing


ANTARA adegan filem Baby Driver.

Mereka yang mengikuti filem ini pasti masih terkenang alunan lagu Bellbottoms nyanyian The Jon Spencer Blues Explosion pada babak permulaan.

Baby, lakonan Ansel Elgort, bersama beberapa perompak yang diketuai Doc (Kevin Spacey) menggerakkan operasi mereka, namun terpaksa lari daripada diekori seorang saksi.

Lima minit pertama saja sudah membangkitkan keterujaan khalayak, apatah lagi apabila ia disuntik dengan mainan latar lagu rancak yang kononnya dipasang di telinga Baby.

Hakikatnya, anak muda yang tinggal bersama penjaga angkat kurang upaya itu mengalami masalah telinga berdesing susulan kesan kemalangan ketika kecil. Bagi menenggelamkan bunyi itu, Baby sentiasa memasang lagu di telinganya.

Malah, kecenderungan terhadap muzik juga tercetus disebabkan mendiang ibunya yang gemar menyanyi, namun menerusi babak imbas kembali turut ditonjolkan masa silamnya yang tragik apabila orang tuanya terkorban dalam kemalangan.

Memori lampaunya juga dihantui sikap buruk ayahnya yang kerap memukul si ibu sebelum kedua-duanya ditimpa musibah.

Mampu bangkitkan 'mood'


ANTARA adegan filem Baby Driver/

Boleh dikatakan, setiap babak disokong dendangan yang 'kena' dengan suasana memandangkan Baby sendiri mempunyai alunan khas dalam berdepan apa juga situasi, hingga pada satu tahap anak muda yang memiliki kemahiran tinggi dalam pemanduan ini tidak mampu menggerakkan keretanya disebabkan ketiadaan lagu kegemaran!

Sekali gus, dendangan demi dendangan yang dipilih melatari sepanjang filem turut mengiringi pengembaraan Baby dalam mencari wang menyara diri sendiri dan ayah angkatnya itu.

Hampir 30 lagu popular sepanjang zaman menjadi penguat kepada kronologi kisah ini, daripada The Jon Spencer Blues Explosion, Bob & Earl, Jonathan Richman & The Modern Lovers, Googie Rene Combo, Kid Koala, The Beach Boys hinggalah kepada Carla Thomas.

Siapa yang tidak teruja apabila disogokkan deretan lagu malar segar termasuk Harlem Shuffle, Egyptian Reggae, Smokey Joe's La La, Let's Go Away For Awhile, B-A-B-Y, Debora, Baby Let Me Take You (In My Arms), Early In The Morning, Nowhere to Run dan Tequila.

Sudah pasti suntikan dendangan rancak serta ada kalanya seleksi perlahan bagi sesetengah babak membangkitkan adrenalin mahu pun 'mood' penonton dalam menghayati setiap adegan.

Tugasan terakhir


ANTARA adegan filem Baby Driver/

Berbalik kepada jejaka terbabit, kehidupan dan pandangannya terhadap masa depan mula berubah sebaik saja dirinya bertemu pelayan di sebuah kafe, Deborah (Lily James).

Cuba meninggalkan dunia jenayah kerana enggan kekasih berdepan bahaya, namun akhirnya di atas ugutan Doc, Baby terpaksa melangsaikan sebuah tugasan buat kali terakhir.

Apa pun pengakhiran, Baby Driver menyajikan kelainan dan bukan filem aksi tipikal.

Sekali pun tidak dapat dikategorikan di bawah filem muzikal, percubaan berani Wright nyata mampu mengajak kaki wayang menikmati irama malar segar dalam pawagam.

Hakikatnya, ada penonton yang pulang ke rumah menyelongkar semula cakera padat lama sebaik mendengar kagu yang diputarkan sepanjang tayangan, malah kalangan golongan muda pula mula mencari runut bunyi Baby Driver di YouTube.

Judul: Baby Driver

Pengarah: Edgar Wright

Pelakon: Ansel Elgort, Lily James, Jamie Foxx, Jon Hamm, Kevin Spacey, Eiza Gonzalez

Genre: Komedi / Aksi / Jenayah

Tayangan: Mulai 20 Julai 2017

552 dibaca
Berita Harian X