Sabtu, 22 Julai 2017 | 2:33pm

Jumpa Bunga Citra Lestari, Aura Kasih di KL

KUALA LUMPUR: Dua bintang Indonesia, Bunga Citra Lestari dan Aura Kasih, bakal menemui peminat di ibu kota, minggu depan, dalam rangka promosi filem terbaru lakonan mereka, Surat Kecil Untuk Tuhan.


Antara babak dalam filem Surat Kecil Untuk Tuhan.

Bagi peminat yang tidak ingin ketinggalan bertemu pelakon popular berkenaan mereka boleh berbuat demikian dengan menghadiri acara tayangan istimewa filem terbabit, masing-masing pada 26 Julai di GSC Mid Valley dan 27 Julai di TGV Wangsa Walk.

Menurut kenyataan dikirimkan GSC kepada BH Online, kedua-dua acara tayangan itu diadakan pada jam 9 malam. Tiket bagi menyaksikan filem terbabit pada tarikh berkenaan kini sudah pun mula dijual.

Sepanjang beberapa hari berada di ibu kota, kedua-dua aktres jelita itu juga akan terbabit dalam pelbagai aktiviti promosi, termasuk sesi temubual bersama media tempatan.

Filem Surat Kecil Untuk Tuhan mengisahkan dua beradik jalanan, Anton dan Angel, yang terpisah ketika mereka masih kanak-kanak. Lima belas tahun kemudian, Angel yang kini menetap di Australia, kembali semula ke Indonesia untuk mencari abangnya.


Antara babak dalam filem Surat Kecil Untuk Tuhan.

Selain Bunga Citra Lestari dan Aura Kasih, filem arahan Fajar Bustomi itu turut menampilkan pelakon seperti Joe Taslim, Izzati Khanza, Bima Azriel dan Lukman Sardi.

Filem yang sarat dengan isu kemanusiaan itu akan mula ditayangkan kepada umum pada 3 Ogos depan di pawagam terpilih.

838 dibaca
Berita Harian X