Jumaat, 12 Oktober 2018 | 9:39am
JALIL terpaksa bersuara untuk elak diri terus ditindas dengan bayaran tidak berbaloi. - Foto Aziah Azmee

'Ia penghinaan terhadap bakat kami'

KUALA LUMPUR: Pelakon berkarakter, Jalil Hamid, 61, mengakui dia terpaksa bersuara mengenai isu bayaran tidak masuk akal yang diterimanya daripada beberapa syarikat produksi selepas berulang kali berdepan situasi sama.

Bukan mengeluh, jauh sekali menolak rezeki, namun dia terkilan kerana tawaran sebegitu seolah-olah membuli pelakon lama sedangkan produksi sanggup melaburkan sejumlah bajet untuk bakat baharu yang mempunyai ramai pengikut di laman sosial.

“Sudah tiga, empat kali saya diaju tawaran dengan bayaran tidak setimpal. Kerja kami kadang kala berbelas jam sehari di lokasi. Kudrat dan kesungguhan diberi lebih daripada 100 peratus. Kenapa mesti ada diskriminasi terhadap pelakon lama?

“Bukan kita tak boleh bertolak ansur, tetapi fikirlah kami juga cari makan. Mahu ke lokasi perlu isi minyak, bayar tol dan sebagainya. Jangan tindas kami dengan cara begini.

“Kalau berdiam kita diperkotak-katik, tetapi apabila bersuara kita dicop cerewet. Sampai ada pihak berpakat, jangan ambil pelakon yang berani bersuara. Luahan ini juga buat teman seperjuangan lain yang menerima nasib sama,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, penerima lapan anugerah yang juga finalis Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu memuat naik status di laman sosial memaklumkan, dia ditawarkan bayaran RM1,500 untuk membintangi sebuah drama.

Lebih menyedihkan katanya, tawaran itu adalah untuk watak utama, membuatkan dia berasa bayaran diberikan sebagai penghinaan terhadap pelakon lama dan berpengalaman.

“Apabila jadi artis veteran, rupanya jatuh nilai. Saya rasa terhina apabila ada produksi tawarkan peranan utama, berlakon 12 daripada 16 babak. Penggambaran dua hari dan harga yang ditawarkan RM1,500,” luahnya di Instagram.

Jalil berkata, sebagai ketua keluarga, dia perlu mencari nafkah memandangkan anak bongsunya masih di universiti selain, selain menampung keperluan cahaya mata pertamanya yang juga anak istimewa.

“Selepas terbabit dalam sebuah drama sempena hari raya, sampai sekarang saya tidak dapat tawaran berlakon. Adalah rezeki sikit untuk anak-anak, cuma yang sulung memang memerlukan perbelanjaan agak tinggi.

“Usianya sudah mencecah 33 tahun, namun tidak mampu menguruskan diri sendiri dan perlu memakai lampin pakai buang. Saya tidak sesekali mahu menagih simpati kerana saya masih mampu bekerja. Takkan saya mahu meminta sedekah,” katanya.

Mengenai segelintir individu yang menyelar luahannya, kata bapa enam cahaya mata itu, terpulang kepada orang luar untuk membuat sebarang komen, namun Jalil berharap, suaranya itu didengar pihak berkaitan termasuk persatuan, stesen TV dan syarikat produksi.

3729 dibaca
Berita Harian X