Khamis, 11 Oktober 2018 | 3:08pm
FAIZAL selesa tiba awal di lokasi penggambaran. - Foto Aziah Azmee

Faizal pegang amanat arwah orang tua

KUALA LUMPUR: Pesanan arwah kedua-dua orang tuanya sentiasa menjadi azimat pelakon berpengalaman, Faizal Hussein dalam mengekalkan disiplin sepanjang lebih tiga dekad menjadi anak seni.

Faizal, 51, berkata pesanan ayah, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan ibu, Allahyarham Mahyun Ismail supaya sentiasa datang awal ke lokasi penggambaran atau tempat dijanjikan terus dipegang hingga kini.

“Saya lebih selesa sampai awal, kebiasaannya sejam atau sejam setengah sebelum bermula. Perkara ini sudah menjadi rutin sejak dahulu. Arwah ibu dan ayah selalu mengingatkan, biar kita yang menunggu, bukan orang yang menunggu kita.

“Banyak kelebihan apabila tiba awal di lokasi penggambaran. Jika tiba-tiba berlaku sesuatu, tempoh itu dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah itu tanpa mengganggu masa pelakon atau orang lain.

“Disiplin juga membuatkan kita lebih dipercayai. Jika kali pertama berlakon dengan seseorang pengarah atau penerbit, sudah tentu saya mahu mereka menggunakan khidmat saya untuk projek seterusnya. Andai soal masa dan disiplin dipandang ringan, tentu mereka takut untuk mengambil kita berlakon lagi,” katanya.

Teruja menanti tayangan filem lakonan terbarunya, Kalla: Hidup atau Mati yang menemui penonton bermula hari ini, Faizal berkata, watak sebagai Dr Ezahar paling mencabar keupayaan diri.

Kongsi pelakon prolifik yang sudah membintangi lebih 40 filem itu, peranan sebagai pakar sejarah dan ahli arkeologi yang tidak mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri sangat menguji ketahanan mental serta fizikal.

“Boleh dikatakan sepanjang hampir dua bulan penggambaran pada Januari lalu, setiap hari ada babak membabitkan saya. Adegan lasak juga saya lakukan sendiri.

“Bezanya, dalam filem aksi lain saya boleh membalas serangan, tetapi menerusi produksi ini, saya hanya perlu menerima tanpa membalasnya semula.

“Walaupun berdepan kecederaan kecil, termasuk terpijak serpihan kaca dan kuku tercabut, saya yakin Kalla: Hidup atau Mati mampu membuatkan adrenalin penonton memuncak,” katanya mengenai filem yang menggandingkannya dengan Azhan Rani, Farali Khan dan Adam Shahz.

1672 dibaca
Berita Harian X