Khamis, 11 Oktober 2018 | 1:51pm
Fauziah memuji aksi Janna sebagai hos bersama ABPBH 31 melalui entri pada Instagram, Ahad lalu. - Foto IG Fauziah Nawi

Pujian 'ibu' kuatkan semangat Janna

KUALA LUMPUR: Teruk dikecam sebelum acara berlangsung, hos bersama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Janna Nick beroleh semangat baharu apabila aksinya pada malam kemuncak itu dipuji bintang senior, Fauziah Nawi.

Janna terkejut dipuji Fauziah yang kagum melihat dirinya tidak memegang ‘cue card’ atau nota rujukan sepanjang mengendalikan acara anugerah berprestij itu bersama Ajak Shiro dan Zara Zya.

“Tidak berpandukan ‘cue card’ bukanlah tanda saya hebat.

“Saya sebaliknya menghafal skrip agar lebih fokus. Jika saya bercakap sambil memegang ‘cue card’, ia mengganggu tumpuan saya.

“Apa-apapun, saya bukan mahu dipuji... Malah, saya sudah bersedia untuk dikecam. Namun, saya berusaha untuk mengurangkan kritikan. Saya mahu lihat peningkatan mutu kerja sebagai pengacara.

“Ketika berasa rendah diri apabila membaca kecaman orang, melihat pujian ibu (Fauziah) memberi semangat kepada saya,” katanya kepada BH Online.

Ahad lalu, Fauziah yang digelar ‘ibu’ oleh artis muda, berkongsi entri pada Instagram yang antara lain memuji Janna yang dilihat tidak memegang ‘cue card’ ketika menonton sebahagian aksi mereka sehingga ke penghujung program.

Fauziah menyifatkan Janna cukup yakin ketika bercakap dan percaya pelakon itu menghafal turutan acara sehingga habis.

Janna berkata, dia menjaga setiap butiran pertuturannya sepanjang mengendalikan ABPBH 31 bagi mengelak sebarang isu.

Tambah Janna, dia sebenarnya hampir menolak tawaran mengendalikan acara anugerah itu gara-gara tidak yakin melakukannya.

“Secara jujurnya, ketika ditawarkan menjadi hos, saya tak mahu. Saya tidak yakin apatah lagi merasakan diri ini tidak layak mengendalikan acara besar seperti itu.

“Tetapi selepas didesak pengurus dan saya berfikir, apa salahnya ambil peluang itu. Kalau tak kendalikan ABPBH 31, mungkin orang takkan nampak sisi lain saya sebagai pengacara majlis ‘live’,” katanya.

Janna bagaimanapun bersyukur ABPBH 31 akhirnya dikendalikan dengan baik bersama Ajak dan Zara.

“Alhamdulillah, walaupun ada yang tidak suka, ramai juga yang memuji.

“Kalau nak tahu, pada malam itu, saya sudah mengurangkan sikap menjadi diri sendiri kira-kira 40 peratus... Ini kerana mahu mengikut kesesuaian majlis,” katanya.

Mengikut rekod, ABPBH 31 yang mengangkat penyanyi Wany Hasrita sebagai Bintang Paling Popular, disaksikan hampir enam juta penonton.

Menurut Nielsen Malaysia, secara purata, ABPBH yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu ditonton hampir tiga juta orang dan hampir enam juta secara menyeluruh sepanjang hampir tiga jam bersiaran.

Jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu yang mencatat tontonan 5.2 juta.

1320 dibaca
Berita Harian X