Rabu, 10 Oktober 2018 | 7:02pm
NATASHA kembali solo selepas mengakui berpisah buat kali ketiga. - Foto Munira Abdul Ghani

'Saya sudah temui kekuatan sejak kembali sendiri'

KUALA LUMPUR: "Saya okay. Ia bukan pengakhiran hidup apabila kembali sendiri," demikian kenyataan pelakon Natasha Hudson, 36, ketika mengulas mengenai perceraiannya dengan bekas penyanyi hip-hop, Carleed Khaza atau nama lengkapnya, Khalid Kamal.

Pelakon filem Chermin itu dalam satu paparan yang dimuat naik di Instagram, empat hari lalu juga berharap, mereka yang rapat dengannya tidak bersedih kerana dia sudah memperoleh kekuatan sejak membawa haluan sendiri, tahun ini.

"Saya mencari kehidupan yang lebih baik dengan menyibukkan diri dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

"Sesiapa yang diuji diberikan peluang untuk belajar daripada kegagalan. Saya tidak malu pada usia muda perlu menamatkan satu lagi perkahwinan supaya lebih matang dalam mencari kebahagiaan. Ia qada' Allah," katanya.

Tambahnya, perhubungan, perkahwinan, perceraian dan kematian adalah perkara yang berlaku setiap hari dan sebagai hamba-Nya, manusia hanya perlu berusaha mendapatkan pengakhiran yang bahagia.

"Tetapi Allah juga yang menentukan sama ada ia berakhir atau terus abadi. Saya berharap sudah menjawab persoalan ini kerana saya tidak fikir boleh menyimpannya sendiri lagi.

"Saya tahu ramai yang bimbang. Terima kasih dan saya sesungguhnya menghargai keprihatinan semua. Doakan kebahagiaan saya kerana saya juga berhak merasainya.

"Setiap pengakhiran tidak seharusnya berkesudahan dengan kesedihan dan saya menanganinya dengan matang serta bijak. Saya reda dengan apa yang tertulis," katanya.

Sementara itu, Natasha menerusi laporan Harian Metro hari ini mengesahkan, dia dan Carleed sudah berpisah, namun tidak menyatakan tarikh sebenar perceraian mereka.

"Saya harap semua pihak memberi saya dan keluarga ruang untuk menyelesaikan perkara berkaitan terlebih dahulu.

“Saya berada dalam keadaan baik dan hidup perlu diteruskan bersama anak-anak seperti biasa. Saya percaya Allah SWT lebih mengetahui dan sebaik-baik perancang,” katanya.

Natasha dan Carleed mendirikan rumah tangga pada 15 April 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Naeema Kalila, 5, dan Faatimah, 3.

Terdahulu, Natasha dikurniakan seorang anak perempuan Neesa Helena, 10, hasil perkahwinan keduanya.

3786 dibaca
Berita Harian X