Rabu, 10 Oktober 2018 | 6:36pm
KUGIRAN Masdo dan Datuk Jeffrydin membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH 31, Ahad lalu. - Foto Eizairi Shamsudin

Sasaran digital ABPBH 31 tercapai

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober lalu mencatat 2.5 juta tontonan di platform digital.

Pengerusi ABPBH 31, Shamshul Azree Samshir, berkata jumlah yang diperoleh menerusi Facebook Live, YouTube dan Twitter merangkumi BHTV, MetroTV, NST-TV serta TV3 itu membuktikan sokongan ramai terhadap majlis anugerah tahunan berkenaan.

Katanya, daripada angka ditunjukkan, sebanyak 892,265 penonton mengikuti siaran langsung ABPBH31 di ketiga-tiga medium maya itu sedari awal acara berlangsung pada jam 9 malam hingga berakhir kira-kira 12 tengah malam.

“Jumlah 2.5 juta tontonan majlis pengiktirafan tahunan anjuran BH ini di platform digital adalah sesuatu yang membanggakan.

“Bukan sekadar mengikuti siaran langsung di TV3, kami yakin mereka yang berada di luar atau tiada di dalam negara juga tidak melepaskan peluang menonton malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.


PENYANYI, Misha Omar, menjayakan segmen persembahan pada malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. - Foto Surianie Mohd Hanif

“Malah, hampir 900,000 orang yang melayari medium digital didapati tidak berganjak daripada peranti masing-masing hingga ABPBH 31 berakhir pada tengah malam,” katanya.

Daripada jumlah 2.5 juta, sebahagian besar tontonan untuk anugerah bertemakan Infiniti itu adalah menerusi YouTube TV3 dengan catatan 594,799.

Ia diikuti tontonan di Facebook Live di bawah MetroTV (164,000) manakala menerusi YouTube BHTV pula menunjukkan angka 87,727 tontonan.

Twitter ketiga-tiga akhbar utama di bawah Media Prima Berhad (MPB) juga meraih perhatian ramai apabila mencatatkan angka tatapan 34,666.

Terdahulu, selain tontonan menerusi TV3 yang berjumlah 3 juta penonton, sebanyak 140,510 lagi diraih menerusi platform Tonton dan Tonton Xtra.

Pada malam itu, Wany Hasrita yang diangkat sebagai Bintang Paling Popular menerima kereta Citroen Picasso C4 berharga RM126,000 berserta trofi.

Acara berprestij tahunan itu diadakan bagi mengiktiraf penggiat seni tanah air di samping memberi peluang kepada peminat dan pembaca setia BH untuk memilih artis popular serta menyertai malam kemuncak anugerah terbabit.


BINTANG Paling Popular ABPBH 31, Wany Hasrita (kiri) bersama penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Noor Kumalasari. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

611 dibaca
Berita Harian X