Rabu, 10 Oktober 2018 | 4:01pm
FAZLEY abadi kenangan cinta terhalang dalam lagu Wo Ai De Ni. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Luahan cinta tak kesampaian Fazley

KUALA LUMPUR: Cef selebriti yang juga penyanyi dan pakar motivasi, Datuk Fazley Yaakob mengakui, lagu terbarunya, Wo Ai De Ni adalah luahan kenangan cintanya yang tidak kesampaian dengan seorang gadis Cina.

Fazley, 40, berkata cinta mereka terputus di pertengahan jalan gara-gara tidak mendapat restu keluarga, namun dia tetap menghormati hubungan yang pernah terjalin itu hingga mencetuskan idea merakamkan lagu yang mendapat sentuhan Ajai.

Meskipun menggunakan judul dalam bahasa Mandarin, Fazley memaklumkan, Wo Ai De Ni adalah sebenarnya lagu Melayu dan mula menemui peminat di pelbagai platform digital pada akhir bulan lalu.

“Saya memilih Wo Ai De Ni yang bermaksud kau kesayanganku sebagai judul kerana ayat itu sudah terbiasa di pendengaran ramai. Syukur kerana proses memasukkan suara tidak mengambil masa panjang. Saya juga tidak berdepan masalah untuk menjiwai lagu itu.

“Terus terang, Ajai sebagai penerbit sangat teliti di studio rakaman. Bertuah kerana saya masih berpeluang mendapat bimbingannya dan dia juga berpuas hati dengan proses rakaman.

“Lagu ini seterusnya dibawa ke Australia untuk proses adunan akhir sebelum menemui peminat akhir bulan lalu,” katanya.

Anak jati Rembau, Negeri Sembilan itu berkata, sekalipun terikat dengan pelbagai komitmen lain, minatnya terhadap dunia nyanyian tidak pernah terhakis.

Penyanyi yang dikenali menerusi lagu Asmara Ini hingga diberi jolokan sebagai Abang Asmara oleh peminatnya mengakui, dia sentiasa mencuri masa untuk merakamkan lagu baharu.

“Menerusi lagu ini, saya ini berkongsi mesej dengan peminat mengenai cinta tidak semestinya bersatu. Tetapi, itu tidak bermakna kita harus berhenti menyayangi antara sesama insan,” katanya.

Sebelum Wo Ai De Ni, bapa kepada empat cahaya mata itu pernah menghasilkan single, Ketiadaan sebagai kenangan untuk bapanya, Allahyarham Datuk Yaakob Mohammad yang meninggal dunia pada 2016.

2206 dibaca
Berita Harian X