Sabtu, 6 Oktober 2018 | 8:03pm

Wany Hasrita selesa sendirian di karpet merah ABPBH

Penyanyi yang mencetuskan fenomena dengan lagu Menahan Rindu, Wany Hasrita, memilih untuk muncul sendirian pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, esok.

• Wany Hasrita mahu berjalan sendirian di karpet merah ABPBH 31

• Anggap kurang manis untuk hadir bersama lelaki selagi belum berkahwin

• Lebih jadi tumpuan andai muncul sendirian

• Pilih gaun sederhana serikan malam kemuncak

KUALA LUMPUR: Jika selebriti lain memilih ‘pasangan’ apabila menghadiri malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu, sebaliknya penyanyi cantik berusia 26 ini lebih selesa berjalan seorang diri.

Bagi Wany Hasrita, bukan sesuatu yang pelik apabila berjalan sendirian pada mana-mana acara anugerah yang dihadiri. Tahun lalu, dirinya turut memilih untuk berjalan sendirian pada acara karpet merah.

“Saya tidak kekok pun berjalan seorang diri. Oleh kerana saya belum berpasangan dan berkahwin, jadi lebih sesuai saya muncul bersendirian.


PENYANYI, Wany Hasrita. - Foto Aziah Azmee

WANY Hasrita memilih untuk muncul sendirian pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31. - Foto Aziah Azmee

“Selagi belum disunting, saya rasa tidak manis berpasangan dengan lelaki bagi menghadiri mana-mana anugerah. Biarpun sekadar teman sesama artis, tetapi saya tidak selesa,” katanya.

Lagi pun, gadis kelahiran Cheras, Kuala Lumpur, itu berkata dia tidak mahu berkongsi tumpuan.

“Jika saya berjalan seorang diri, tumpuan terus ke arah saya dan tidak berkongsi dengan sesiapa. Ia lebih baik untuk mempromosikan dan menonjolkan diri,” katanya.

Bekas penuntut jurusan perubatan di Management & Science University (MSU), Shah Alam itu berkata, dia memilih gaya sederhana dan ringkas untuk malam kemuncak ABPBH edisi ke-31.

“Saya memilih rekaan Altelia Amani untuk melaram pada malam kemuncak ABPBH. Saya suka rekaan yang mengikut kesesuaian badan.


WANY Hasrita memilih gaya sederhana dan ringkas untuk malam kemuncak ABPBH edisi ke-31. - Foto Aziah Azmee

WANY Hasrita memilih rekaan Altelia Amani untuk melaram pada malam kemuncak ABPBH. - Foto Aziah Azmee

“Gaun berwarna hitam menggunakan fabrik renda Perancis yang dibawa khas dari Itali. Rekaannya ringkas, tetapi masih mengikut tema Infiniti seperti yang ditetapkan. Renda yang dipilih menyerlahkan gaun hitam ini.

“Harganya, biarlah rahsia,” katanya sambil ketawa.

Pada ABPBH kali ini, Wany atau nama sebenarnya Nursyazwany Hasrita Hasbullah dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Tajul.

Keputusan 13 kategori utama dan lima kategori online anugerah terbabit akan diketahui malam esok, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ia turut disiarkan secara langsung oleh TV3 mulai jam 9 malam.

Berita Harian X