Jumaat, 14 September 2018 | 6:44pm
Antara poster meraih undi yang dikongsi di laman sosial sejak ABPBH 31 dilancarkan pada 25 Ogos lalu. Undian boleh dibuat dengan melayari www.abpbh.com.my

ABPBH 31 kuasai laman sosial

KUALA LUMPUR: Gerak gempur bagi menobatkan artis kesayangan meraih gelaran popular menerusi 13 kategori utama yang dipertandingkan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 kian rancak.

Sejak dua minggu lalu, perang poster membanjiri media sosial dalam usaha kelab peminat meraih undi, baik daripada penyokong mahupun netizen yang tidak menyertai mana-mana persatuan pengikut artis.

Sejak undian dibuka pada 25 Ogos lalu, kelab peminat berusaha melakukan pelbagai strategi untuk membolehkan artis pujaan meraih trofi berprestij ABPBH 31 sekaligus mengangkat selebriti dalam takhta populariti.

Ibarat pilihan raya, pelbagai perancangan diatur kelab peminat termasuk melakukan hebahan melalui media sosial, berkongsi video, taktik undian silang antara kelab dan membuka bilik gerakan.

Tidak mahu melihat artis kesayangan terlepas daripada meraih sebarang trofi dalam tiga kategori utama dicalonkan, wakil kelab peminat Nur Fazura iaitu Kelab Fazbulous Warriors, Ieja memberitahu, ahli bekerja keras siang dan malam membuat promosi secara meluas di media sosial.

Matlamat mereka, kata Ieja, adalah melihat Fazura meraih sekurang-kurang satu trofi di pentas ABPBH 31 yang akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober depan.

“Selain membuat poster dan hebahan gerak gempur di media sosial, kami menumpukan masa untuk mengundi setiap detik tanpa henti.

“Artis memang tidak memantau kerja undian tetapi dia tahu apa yang kami lakukan sebab kami akan maklumkan kerja-kerja kami.

“Ini usaha kami sebagai kelab peminat untuk melihat Fazura meraih trofi berprestij ini. Kami mahu bakat serta usaha seninya dihargai peminat dengan pengiktirafan di pentas gah ABPBH kelak,” katanya kepada BH Online.

Hanya mengundi mengikut saluran biasa melalui laman web www.abpbh.com.my, setiap ahli bekerja keras memangkah undi tanpa henti sehingga undian ditutup pada 25 September ini.

“Kami tidak membuka bilik gerakan undian, sebaliknya berharap semua ahli kelab dan peminat yang menyokong artis kami untuk mengundi.

“Tempoh undian tidak lama. Dalam jangka masa berbaki dua minggu ini kami berusaha sehabis mungkin untuk mengundi.

“Setakat ini, tiada aktiviti luar yang dibuat untuk meraih undi. Ini kerana masing-masing bersemangat dan sibuk menumpukan masa untuk mengundi.

“Tetapi, kami akan saling berhubung untuk memastikan undian sentiasa berjalan setiap masa," katanya.

Sentiasa memuat naik notis mengingatkan ahli kelab mengundi di media sosial, wakil kelab peminat Haqiem Rusli iaitu Qiemilio, Muhammad Ammar Halim berkata, pihaknya turut mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk memantau kerja undi.

Malah, katanya, video ucapan artis dimuat naik di laman sosial untuk disebarkan ke laman sosial masing-masing.

“Kami gabungkan semua pautan undian dan boost kepada pengikut untuk mereka jalankan tugas. Setiap majlis atau acara yang dihadiri Haqiem, kami akan turun padang untuk tarik undi peminat,” katanya.

Tambah Muhammad Ammar, pihaknya bergabung dengan fanbase Qiemilio yang lain bagi mewujudkan Qiemilio United.

“Ini bertujuan mengingat atau memuat naik poster bagi menggalak pengikut laman sosial masing-masing mengundi untuk Haqiem,” katanya.

Biarpun gerak kerja mereka tidak membabitkan artis, namun, kata Muhammad Ammar, mereka mendapat sokongan Haqiem yang membuat video ucapan serta berkongsi poster dihasilkan kelab di media sosial.

“Bukan saja undian biasa di laman web ABPBH, sebaliknya kami juga membuat undian pukal dan diagihkan kepada semua ahli untuk mengundi.

“Kami tidak membuka bilik gerakan undian, sebaliknya memantau setiap ahli menerusi group WhatsApp.

“Memang tidak ada aktiviti luar bersama artis sebab masing-masing sibuk mengundi," katanya.

Menjadikan platform mempromosikan filem sebagai kelebihan meraih undi, wakil kelab peminat, Syafiq Kyle iaitu Skylovers FC, Wan Najmudin Wan Mohd Noh memberitahu sepanjang bulan ini, Syafiq sibuk mempromosikan filem terbarunya, Langsuir.

Wan Najmudin berkata, perancangan diatur teliti sepanjang tempoh kempen termasuk menjadikan media sosial sebagai pentas meraih undi.

“Alhamdulillah, persiapan kempen dibuat secara teratur dan lebih terperinci jika dibandingkan sebelum ini.

“Antara cara yang digunakan termasuk mengoptimumkan platform media sosial, membuat posting hebahan mengenai Syafiq kepada peminat dan menyeragamkan penggunaan tanda pagar (#) dan bintang (*) untuk ditularkan.

“Sebagai pasukan, kami ada ketua yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan semua ahli membuat undian dari masa ke semasa. Kita juga sentiasa mengemaskini perkembangan kepada pihak pengurusan,” katanya.

Wan Najmudin berkata, sejak perubahan sistem undian yang dilakukan secara dalam talian sepenuhnya, kelab perlu lebih efisien dan komited bagi memastikan kemenangan Syafiq.

Beruntung kerana proses undian dipantau Syafiq yang sentiasa mengambil tahu kerja keras penyokongnya, aktor kacak ini turut meluangkan masa bersama ahli. Hero Langsuir ini juga sering berkomunikasi dengan mereka dari masa ke semasa.

“Sepanjang bulan ini, pergerakan Syafiq agak terbatas sebab banyak fokus kepada jelajah promosi filem terbarunya hampir di setiap negeri.

“Jadi, secara tidak langsung, Syafiq akan dekat bersama peminatnya di luar Lembah Kelang.

“Insya-Allah, kami turut merancang untuk mengadakan majlis Syafiq bersama kelab peminat, tidak lama lagi bagi merapatkan lagi hubungan antara kami,” katanya.

Sambutan ulang tahun kelahiran Alif Satar pada 17 September ini akan dimanfaatkan kelab peminatnya, Alifsatarofficialfc (asofc) untuk merapatkan hubungan. Selain itu, mereka berkongsi maklumat mengenai strategi diatur bagi memastikan kemenangan Alif di pentas ABPBH 31.

Tidak mahu melihat Alif pulang dengan tangan kosong pada malam kemuncak acara berprestij itu, wakil asofc, Siti Noorhanum Md Aroff berkata, setiap ahli disaran mengundi sepanjang masa.

“Demi melihat kemenangan Alif, kami bekerja keras melakukan yang terbaik dan mengumpul tenaga serta masa untuk mengundi.


Antara poster meraih undi yang dikongsi di laman sosial sejak ABPBH 31 dilancarkan pada 25 Ogos lalu. Undian boleh dibuat dengan melayari www.abpbh.com.my

“Kami sentiasa mengingatkan ahli agar mengundi. Alif tidak terbabit dalam proses undian kerana dia menyerahkan sepenuhnya kepada kami.

“Tetapi, kami akan sentiasa memaklumkan dirinya apa yang kami lakukan. Setiap ahli asofc akan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kemenangan Alif.

“Ini kita lakukan dengan melakukan promo di media sosial serta menarik undian daripada pengikut mereka di laman sosial," katanya.

Aktiviti menonton wayang bersama artis kesayangan dijadikan medan untuk merapatkan hubungan antara Haiza dan kelab peminatnya, Haizatroopers. Ini termasuk berkongsi perkembangan mengenai gerak gempur sempena ABPBH 31.

Selain berhubung menerusi aplikasi WhatsApp bagi memantau proses undi, wakil kelab, Mohd Najib Ahmad berkata, mereka memfokuskan kepada satu daripada dua kategori yang dicalonkan dengan bergabung tenaga bersama kelab peminat lain.

“Haiza mengambil tahu setiap proses undian yang dibuat. Malah, dia sendiri terbabit sama dalam undian dan selalu bertanyakan peminat.

“Kami tidak ada bilik gerakan undian, tetapi cukup sekadar melalui group WhatsApp yang diwujudkan,” katanya.

Aktiviti menonton wayang bersama artis kesayangan mereka dianggap cara terbaik bagi merapatkan hubungan selain mengambil peluang untuk mengingatkan peminat untuk terus mengundi Haiza sehingga undian ditutup.

INFO

  • Peminat boleh mengundi artis pilihan melalui www.abpbh.com.my sehingga 25 September ini.
  • Sebanyak 13 kategori utama dan lima kategori online ABPBH 31 dibuka untuk undian.
  • ABPBH 31 bertemakan Infiniti akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad, 7

    Oktober depan jam 9 malam.

  • Pengeluar kosmetik, Alha Alfa adalah penaja utama ABPBH 31.
  • Tanda pagar #abpbh, #abpbh31, #abpbh31infiniti, #infiniti, #bh dan #bhonline mula dikongsi di laman sosial sejak

    pengumuman ABPBH 31 kembali.

  • Ikuti laporan semasa ABPBH 31 melalui laman web www.bharian.com dan www.abpbh.com.my.
  • 777 dibaca
    Berita Harian X