Khamis, 13 September 2018 | 6:09pm
EMMA sering beri kata semangat untuk adiknya yang baru memulakan perniagaan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bangga lihat kesungguhan adik cari rezeki

KUALA LUMPUR: Pelakon, Emma Maembong bangga dengan semangat adiknya, Ahmad yang tidak kenal erti putus asa dalam meneruskan perniagaan, biarpun pernah berdepan kegagalan.

Kagum dengan semangat kental adiknya itu, Emma atau nama lengkapnya, Fatimah Rohani Ismail turut meluangkan masa membantu apabila perniagaan bubur kari, Abangwheelchair yang baru diusahakan mendapat sambutan menggalakkan.

“Sebagai kakak, semestinya saya bangga melihat Ahmad begitu rajin berusaha mencari rezeki. Melihat senyumannya yang puas apabila hampir setiap hari bubur kari yang dijualnya habis, saya tumpang gembira.

“Dalam soal makanan, saya agak pemilih kerana tidak semua yang disajikan memenuhi cita rasa. Namun, jujur saya katakan, bubur kari yang dijual Ahmad memang istimewa dan harganya juga berpatutan.

“Saya tertarik dengan keunikan menu yang disediakan sendiri oleh ibu kepada rakan Ahmad. Memandangkan saya mempunyai masa terluang, saya sering berkunjung ke tempat dia berniaga bagi melihat perkembangan perniagaannya,” kata Emma.

Pelakon yang popular dengan drama Tersuka Tanpa Sengaja dan Isteri Separuh Masa itu berkata, dia kagum melihat Ahmad yang tidak pernah sesekali menjadikan kegagalan sebagai penghalang untuk memulakan semula langkah.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Awak Suka Saya Tak itu turut bersyukur apabila namanya membolosi senarai awal dua kategori utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 bagi Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Emma juga bersaing dalam tiga kategori online iaitu Artis Sensasi Popular, Pasangan Serasi Drama bersama Hisyam Hamid dan Pasangan Serasi Filem bersama Aiman Hakim Ridza.

“Kemenangan bagi saya adalah bonus, namun saya lebih terharu dengan semangat kelab peminat, Emanizer bertungkus lumus mengundi untuk memastikan nama saya mara dalam senarai Top 5.

“Pengorbanan mereka itu membuatkan saya terharu. Sekiranya saya membawa pulang kemenangan pada malam kemuncak ABPBH 31 nanti, saya dedikasikan kejayaan itu kepada peminat yang menghargai dan melihat kelebihan saya,” katanya.

2613 dibaca
Berita Harian X