Rabu, 20 Jun 2018 | 9:41am
PENGACARA dan penyanyi, Dayah Bakar. - Foto Rohanis Shukri

Dayah Bakar berdebar nak naik pelamin

KUALA LUMPUR: Ketika insan lain teruja meraikan lebaran, pengacara, Dayah Bakar, mengaku berdebar menunggu detik bakal diijabkabulkan dengan pilihan hati, Muhammad Hanif Hamidi, pada 29 Jun ini.

Selepas acara akad nikah, dia dan pegawai tentera berpangkat kapten terbabit akan diraikan pula dalam majlis persandingan yang turut diadakan di Ampang, pada 1 Julai depan.

Majlis bertandang akan berlangsung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada 7 Julai.

"Ketika ini, persiapan masih lagi rancak dilakukan dan kami berusaha menyudahkan apa yang patut.

"Orang lain teruja beraya, saya pula dalam debaran nak naik pelamin. Tak apalah, saya sendiri mahu majlis kahwin kami mengambil keberkatan musim raya ini," katanya kepada BH Online.

Sebagai simbolik hari bahagia mereka, Dayah atau nama penuhnya Nur Hidayah Abu Bakar, 29, turut mencipta lagu berjudul Imamku. Ia sebenarnya dicipta gadis ini kira-kira empat tahun lalu.

"Lagu terbabit menceritakan mengenai impian seorang gadis untuk dipertemukan dengan lelaki yang mampu membimbingnya ke jalan kebaikan.

"Lagu itu tepat menggambarkan perasaan saya yang sedang menghitung hari untuk diijabkabulkan. Imamku agak istimewa kerana bercerita mengenai harapan semua wanita untuk bertemu cinta sejati dengan lelaki yang bersifat pemimpin.

"Insya-Allah, doa saya akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi. Saya berharap bakal suami mampu menjadi imam yang akan membanggakan saya nanti," katanya.

Pernah mengendalikan program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O dan Hijabista di TV9, Dayah berkata, perkenalannya dengan lelaki sebaya dengannya itu bermula ketika mereka belajar di sebuah sekolah menengah di Seremban.

"Kebetulan, rumah kami juga berdekatan dan dia antara teman sepermainan saya ketika kecil. Kami bagaimanapun mempunyai personaliti berbeza. Berbanding saya yang banyak bercakap, Hanif pula lebih pendiam," katanya.

7653 dibaca
Berita Harian X