Khamis, 17 Mei 2018 | 9:49am
INDAH Ruhaila tak kisah tunggu lama hasilkan single terbaru. Foto: Mohd Asri Saifuddin Mamat

Indah Ruhaila enggan tergesa-gesa

KUALA LUMPUR: Meskipun ada pihak mengandaikan dia tidak lagi aktif selepas mendirikan rumah tangga pada Disember lalu, semangat juang Indah Ruhaila untuk terus mempertahankan nama tidak pernah bernoktah.

Isteri kepada Ahmad Shariff Ahmad Taufik itu berkata, dia masih lagi memenuhi undangan nyanyian meskipun, pada masa sama perlu memberikan fokus kepada keluarga dan perniagaan yang diusahakannya.

"Saya tidak pernah menyepi, malah masih aktif menerima tawaran menjayakan persembahan tertutup. Mungkin kerana jarang mendapat liputan, membuatkan ramai menyangka saya sudah tidak lagi menyanyi.

"Saya bersyukur masih mendapat kepercayaan, biarpun sudah lama tidak menghasilkan lagu baharu. Selepas berumah tangga, banyak perkara yang perlu saya berikan fokus kerana masih dalam proses menyesuaikan diri.

"Tetapi, semua itu tidak pernah menghalang saya daripada meneruskan kerjaya yang saya minati ini. Alhamdulillah, peminat juga sentiasa bertanya khabar dan ingin melihat saya kembali merakamkan single baharu," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Percayalah itu berkata, dia sudah lama berhasrat untuk tampil dengan lagu baharu, malah pernah merancang memperkenalkannya sebelum menyambut Ramadan.

"Namun, keinginan itu terpaksa ditangguhkan kerana saya belum menemui lagu yang memenuhi citarasa diri dan peminat. Saya tahu ramai yang tertunggu-tunggu kemunculan single keempat saya, tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa.

"Untuk apa menghasilkan lagu sekadar memenuhi syarat. Alhamdulillah, suami tidak pernah menghalang saya meneruskan minat," katanya.

Indah berkata, dia juga masih belum berbadan dua, namun tidak menolak jika diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

1247 dibaca
Berita Harian X