Rabu, 16 Mei 2018 | 4:43pm
SOO Wincci sanggup ikat perut demi mengejar kejayaan. Foto: Rohanis Shukri

Wincci jamah roti, kentang gara-gara wang simpanan habis

KUALA LUMPUR: Dalam mengejar kejayaan, penyanyi dan pelakon, Soo Wincci pernah mengikat perut apabila berdepan kesempitan ketika mula melanjutkan pelajaran di Berklee Music of College, Valencia, Sepanyol.

Wincci, 33, yang mengambil kursus Sarjana Muzik dalam pengkhususan Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi di kampus itu sejak Julai tahun lalu hanya mengalas perut dengan menjamah roti dan kentang apabila wang simpanannya hanya tinggal 1 Euro (RM4.70).

"Saya datang ke sini (Sepanyol) dengan hutang keliling pinggang. Syarikat saya terpaksa ditutup dan rakan niaga terpaksa membantu menyelesaikan masalah hutang.

"Kelas pula agak membebankan kerana saya tidak mempunyai pengetahuan dalam produksi muzik. Saya sanggup berusaha gigih hingga semua orang tahu, saya tidur di kolej.

"Pernah pada satu masa, baki akaun saya hanya tinggal 1 Euro. Untuk berjimat, saya makan roti atau kentang kerana lebih murah" kata penyanyi Musim Asmara itu kepada BH Online.

Kesusahan juga katanya, hampir membuatkan pengajiannya terhenti, namun dia enggan pulang ke tanah air dengan tangan kosong. Untuk melunaskan yuran pengajian yang sangat tinggi, Wincci berusaha menguasai bahasa Sepanyol supaya dapat bekerja di studio.

"Siang saya belajar, malam pula bekerja di studio. Saya bersyukur memiliki rakan niaga yang banyak membantu. Selain cuba menyelesaikan hutang syarikat, dia turut meminjamkan sedikit wang untuk saya melunaskan yuran pelajaran.

"Saya tidak akan mengalah mengejar impian. Setiap kali melihat tangkapan skrin baki duit saya sebelum ini, ia memberi semangat untuk saya berusaha lebih kuat dan teruskan perjuangan. Paling penting, jangan pandang belakang," katanya.

Wincci berkata, keputusannya melanjutkan pelajar di Sepanyol turut mendapat halangan bapanya. Disebabkan terlalu marah, Wincci mendakwa, dihalau bapanya keluar rumah hingga terpaksa tinggal di pejabat.

"Ayah terkejut dengan perancangan saya mahu menyambung pengajian selepas syarikat saya bankrap. Dia mahu saya mencari kerja lain supaya tidak dibebani hutang lagi. Tetapi, tidak lama selepas itu, dia membantu dengan meminjamkan wang untuk saya bayar yuran pengajian.

"Apabila difikirkan balik, pelbagai dugaan ini memberikan pengalaman dan pengajaran dalam usaha saya mengejar cita-cita menembusi pasaran Eropah. Pensyarah juga menganggap saya gila kerana masih mahu menyambung belajar setahun lagi di sini.

"Semua ini saya lakukan sebelum melangkah ke Amerika Syarikat. Di sana, saya mahu mendapatkan Doktor Falsafah (PhD) kedua di Universiti Harvard atau Universiti New York. Saya merancang

menjadi penyelidik di universiti untuk mendapatkan gaji.

"Sementara itu, saya boleh mencari peluang di Hollywood," katanya yang menerima gelaran

doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) pada 2016.

Wincci sebelum itu, memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Undang-Undang dari Universiti Reading, United Kingdom dan Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Sunshine, Coast, Australia.

9263 dibaca
Berita Harian X