Selasa, 17 April 2018 | 3:35pm
SELEBRITI Neelofa dan Datuk Hans Isaac menyokong Kempen Anti Buli Siber pada Majlis Pelancaran Kempen Anti Buli Siber dan Berita Palsu hari ini. - Foto BERNAMA

'Kenapa kami tak boleh berkawan?'

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Neelofa, 29, mengakui pernah keluar bersama pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac, 47, namun, menyifatkan hubungan mereka tidak lebih sebagai kawan baik.

Menafikan kembali menjalin hubungan cinta, Neelofa berkata, mereka sentiasa profesional dan tiada masalah untuk keluar bersama.

"Dari dulu lagi, kami bersikap profesional dan tiada masalah kalau orang nampak kami bersama. Memang kami keluar makan bersama, tetapi tidak timbul soal kami kembali bercinta.

"Apa yang kami buat hanya atas dasar kawan. Malah, jika ada apa-apa perancangan, saya akan berkongsi dengannya termasuk idea untuk menjayakan kempen Buli Siber ini," katanya yang ditemui di majlis pelancaran kempen itu, di sini, pagi tadi.

Neelofa juga tidak menjadikan kisah lalu sebagai penghalang untuk mereka terus berbaik, malah tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan lelaki itu.

Sementara itu, Hans ketika ditanya mengenai kempen terbabit berkata, idea itu dicetuskan Neelofa beberapa bulan lalu bagi menyedarkan masyarakat menerusi pembabitan rakan artis. Sebagai kawan, dia bersedia membantu dalam melunaskan usaha murni itu.

"Kenapa kami tidak boleh berkawan dan melakukan sesuatu yang besar, sama ada untuk kerjaya atau atau komuniti?

"Saya akan menyokong sesiapa yang berusaha. Apabila Neelofa datang kepada saya bersama idea mengenai kempen ini, saya memberitahunya, kenapa tak buat? Saya hanya membantu Neelofa untuk merealisasikan kempen ini," katanya.

Menyentuh mengenai gambar mereka di sebuah pusat peranginan yang tersebar, baru-baru ini, Hans berkata, mereka tidak ke sana berdua.

"Tidak ada isu dan kalau kami berjumpa sekali pun, biasanya beramai-ramai. Kebetulan, kami terjumpa di sana dan restoran pula penuh. Tidak ada apa yang berlaku, kami sekadar lepak bersama dan makan," katanya.

7942 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »