Rabu, 14 March 2018 | 3:11pm
PENYANYI, Hael Husaini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Perempuan faham tak kerja saya? - Hael

KUALA LUMPUR: Pada usia dianggap matang apatah lagi dengan kemasyhuran dimiliki, persoalan bila Hael Husaini mahu menamatkan status bujang pasti sukar dielak komposer dan penyanyi ini.

Ramai menganggap pemenang trofi Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 ini sebagai jejaka ideal dan calon suami pilihan. Apatah lagi, Hael sudah menjadi 'bapa segera' kepada bayi perempuan berusia sembilan bulan, Helena yang diasuhnya sebagai anak angkat.

Bertanya perkara itu kepada Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, pencipta bersama lagu Jampi bersama Ezra Kong ini sedia menimbang soal kahwin jika jodoh sudah mendekati.

"Bagaimanapun, saya sedar tidak semua wanita boleh terima saya yang datang dengan pakej sibuk bekerja ini. Namun, jika ada yang sudi, saya dengan hati terbuka sedia memikirkannya dengan lebih jauh.

"Tapi apakah mereka (wanita) boleh faham cara kerja saya?," katanya kepada BH Online.

Hael berkata, dia tidak tertekan dengan gesaan segera berkahwin, sebaliknya selesa terus mengasuh Helena.

"Helena banyak memberi semangat dalam diri dan hidup saya. Dulu, saya bagai tiada arah tujuan. Pernah pada suatu tahap, saya tiada wang.

"Kehadiran anak ini membuatkan saya jadi lebih bertanggungjawab. Saya bekerja keras untuk dirinya dan hanya fikir mengenai Helena. Sekarang, Alhamdulillah, tanpa diduga rezeki masuk satu persatu," katanya yang mula mempromosikan single baharunya, Haram di laman Instagram.

Pada AJL 32, Januari lalu, lagu Jampi ciptaan Hael dan Ezra merangkul trofi utama Juara Lagu dengan memenangi wang tunai RM50,000, baucar beli belah CJ Wow Shop bernilai RM10,000 dan trofi.

3819 dibaca
Berita Harian X