Selasa, 13 March 2018 | 5:30pm
SUFIAN Suhaimi. - Foto Aziah Azmee

Putus tunang bukan modal 'jual' single - Sufian Suhaimi

KUALA LUMPUR: Sufian Suhaimi menafikan 'menjaja' kisah putus tunang dengan pelakon, Elfira Loy bagi meraih simpati dalam mempromosikan single terbaharu, Di Matamu.

Sufian memberitahu, lagu berkenaan dicipta sejak setahun lalu dan hanya kebetulan kisah disampaikan dalam karya itu berkait dengan hidupnya.

"Saya hanya menjawab apabila ditanya mengenai kisah putus tunang. Kalau boleh, saya tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini.

"Single baharu ini terhasil selepas saya ambil kisah yang terjadi kepada kawan-kawan. Semua ini bukan sekadar meraih publisiti daripada kisah putus tunang," katanya kepada BH Online.

Belum dilancarkan secara rasmi, lagu terbaharu jejaka berusia 24 tahun itu, Di Matamu terus mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengaitkan kisah putus tunang antara Sufian dan Elfira sebagai apa yang tersirat dalam karya berkenaan.

Sebaik dimuat naik pada akaun Istagram Sufian, Disember lalu, lagu berkenaan terus viral apatah lagi selepas Sufian mengesahkan hubungannya dengan Elfira terlerai.

Sufian menganggap kisah putus tunang sebagai peringatan buat dirinya terutama dalam merencana perkara lebih baik, pada masa depan.

"Mungkin ini cara Tuhan menegur saya. Ada hikmah yang lebih baik buat saya selepas ini... Insya-Allah," katanya.

Bulan lalu, dunia hiburan kecoh apabila Filzah Yusoff iaitu ibu pelakon Elfira, mengesahkan pertunangan anaknya dengan Sufian yang popular dengan lagu, Terakhir, putus.

Mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober, spekulasi ikatan pasangan ini goyah mula diperkatakan sejak Disember lalu apabila mereka tidak lagi memuat naik gambar bersama di laman sosial.

3872 dibaca
Berita Harian X