;
Selasa, 13 March 2018 | 5:16pm
ANGGOTA kumpulan Forteen, Ariz Lufias, kini muncul bersama single solo ciptaannya sendiri berjudul Pergi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ariz Forteen cuba nyanyi solo

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas dua teman sekumpulan, Izzue Islam dan Ameerais, melancarkan single solo masing-masing, kini tiba giliran seorang lagi anggota Forteen, Ariz Lufias, memperkenalkan lagu sendiri.

Memilih untuk merakamkan karya ciptaan sendiri, penyanyi berusia 28 tahun ini menggunakan judul Pergi bagi lagu nyanyiannya itu.

"Lagu ini sebenarnya ditulis kira-kira dua tahun lalu. Namun, hanya pada tahun lalu saya berkesempatan masuk ke studio untuk proses rakamannya.

"Ia juga sepatutnya dilancarkan pada 2017, begitupun kekangan waktu dan kesibukan saya dengan beberapa aktiviti lain seperti lakonan serta perniagaan membuatkan perancangan itu tertangguh.

"Jujurnya, saya agak gementar mengenangkan penerimaan dan maklum balas bakal diterima daripada orang ramai. Maklumlah, inilah lagu pertama ciptaan saya yang dibawa ke tengah dan dinyanyikan secara komersial. Saya berharap ia boleh diterima peminat muzik," katanya kepada BH Online.

Menurut pemuda berasal dari Melaka ini lagi, lagu terbabit bukanlah karya tunggal pernah diciptanya.

"Jika diikutkan, sehingga kini saya menulis kira-kira 10 lagu dan tiga daripadanya sudah pun dirakamkan, termasuk Pergi," katanya yang mula aktif di bidang seni bersama Forteen sejak 2011.

Kata Ariz lagi, single terbabit bercerita mengenai kekuatan diri selepas ditinggalkan insan disayangi.

"Kali pertama mendengarnya, pasti ramai orang beranggapan ia sebuah lagu sedih. Padahal, liriknya adalah berkaitan semangat diri.

"Apa pun terjadi, kita akan baik-baik saja dan tetap kuat walaupun ditinggalkan orang yang disayangi," ujar Ariz yang pernah dikaitkan dengan artis serba boleh, Zulin Aziz, beberapa tahun lalu.

Video muzik Pergi kini boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music.

716 dibaca
Berita Harian X